Sabtu, 28 November 2020 | 10:07am
Gambar fail menunjukkan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh. - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh. - Foto EPA

Iran dakwa saintis nuklear dibunuh Israel

TEHRAN: Iran mendakwa salah seorang saintis nuklear paling terkenal di negara itu dibunuh oleh Israel semalam di bandar Absard di wilayah Damavand timur di Tehran.

Kementerian Pertahanan Iran, dalam satu kenyataan, berkata Mohsen Fakhrizadeh cedera parah ketika penyerang menyasarkan keretanya sebelum berbalas tembakan dengan pasukan pengawalnya.

Fakhrizadeh, yang mengetuai pertubuhan inovasi dan penyelidikan Kementerian Pertahanan, disahkan 'mati syahid' setelah beliau gagal diselamatkan petugas perubatan.

Allahyarham, yang pernah dianggap oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai bapa program senjata nuklear Iran, berada dalam sebuah kereta ketika serangan berlaku.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, berkata wujud bukti kukuh menunjukkan pembabitan Israel dalam pembunuhan saintis itu.

"Pengganas membunuh seorang saintis terkemuka Iran hari ini. Tindakan pengecut, yang mempunyai bukti membabitkan Israel, menunjukkan betapa terdesaknya puak pelampau yang gilakan peperangan ini," katanya dalam ciapan di Twitter.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk menamatkan sikap pilih kasih yang memalukan apabila isu persenjataan nuklear antarabangsa dibangkitkan.

Pembunuhan Fakhrizadeh berlaku kurang dua bulan sebelum Joe Biden dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat (AS).

Biden berjanji untuk kembali ke jalan diplomasi dengan Iran selepas empat tahun 'tempoh berperang' di bawah pentadbiran Donald Trump selaku Presiden AS.

Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018 dan mula mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu.

Menurut Trump ketika itu, kesepakatan rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) tidak menawarkan jaminan mencukupi untuk menghentikan Tehran daripada membangunkan bom atom.

Sebaliknya, Iran sudah berulang kali menafikan sebarang niat membangunkan senjata atau bom nuklear. - AFP

Berita Harian X