Jumaat, 27 November 2020 | 9:21am
Gambar fail menunjukkan serangan pertahan udara Iron Dome Israel di sempadan Israel-Syria. - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan serangan pertahan udara Iron Dome Israel di sempadan Israel-Syria. - Foto EPA

19 pejuang maut dalam serangan Israel di Syria

BEIRUT: Serangan udara di Syria yang disyaki didalangi Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 19 pejuang militan pro-Iran.

Menurut badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, serangan awal pagi semalam itu menyasarkan kedudukan militan yang disokong Iran di luar bandar Albu Kamal dekat wilayah Deir Ezzor.

Kebanyakan yang terbunuh dalam serangan itu adalah pejuang pro Iran dari Pakistan, namun media Syria tidak melaporkan mengenai serangan itu dan pihak Israel pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, pertubuhan hak asasi manusia itu menuduh regim Yahudi terbabit melancarkan sekurang-kurangnya dua serangan udara terhadap pasukan pro-Iran di Syria sejak Sabtu.

Rabu lalu, sekurang-kurangnya lapan pejuang yang disokong Iran terbunuh dalam serangan dekat Damsyik dan selatan Syria.

Ia didedahkan pemantau perang yang berpusat di United Kingdom (UK) itu, yang bergantung kepada maklumat daripada rangkaian sumber dalaman Syria.

Pada malam Sabtu lalu, serangan udara yang dilancarkan berhampiran Albu Kamal mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 pejuang militan pro-Iran dari Iraq dan Afghanistan terbunuh.

Iran menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara di Syria.

Serangan terbaru berlaku selepas Duta Besar Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gilad Erdan, meminta Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengambil tindakan segera memindahkan tentera Iran dari Syria.

"Israel menuntut pengunduran keseluruhan Iran dan proksi dari Syria serta pemusnahan infrastruktur ketenteraan Iran dari wilayah Syria," katanya dalam surat yang ditujukan kepada ketua UNSC.

Israel melakukan ratusan serangan udara dan peluru berpandu ke Syria sejak perang saudara di negara itu meletus pada 2011, kononnya menyasarkan tentera Hizbullah Iran dan Lubnan serta pasukan tentera kerajaan Syria.

Perang Syria menyaksikan lebih 380,000 terkorban dan memaksa jutaan orang melarikan diri sejak 2011 dengan penindasan kejam terhadap tunjuk perasaan anti kerajaan. - AFP

Berita Harian X