Isnin, 23 November 2020 | 8:46pm
Aktivis prodemokrasi Agnes Chow (kiri), Ivan Lam (tengah) dan Joshua Wong tiba di Mahkamah Majistret West Kowloon. - Foto AFP
Aktivis prodemokrasi Agnes Chow (kiri), Ivan Lam (tengah) dan Joshua Wong tiba di Mahkamah Majistret West Kowloon. - Foto AFP

Aktivis HK, Joshua Wong, ditahan anjur tunjuk perasaan

HONG KONG: Tiga lelaki ditahan semalam termasuk aktivis, Joshua Wong, selepas mengaku bersalah menghasut penunjuk perasaan dalam demonstrasi prodemokrasi menentang tindakan keras Beijing tahun lalu.

Hong Kong berdepan dengan demonstrasi besar-besaran selama tujuh bulan dan berhadapan dengan serangan ganas penunjuk perasaan apabila puluhan ribu turun ke jalanan sebagai tanda protes.

Beijing dan pihak berkuasa tempatan menolak gesaan diadakan pilihan raya bebas dan mengancam mahu mengambil tindakan jenayah serta mengenakan tindakan undang-undang keselamatan baharu terhadap penunjuk perasaan.

Wong, 24, dibicarakan bersama rakan aktivis, Ivan Lam dan Agnes Chow, kerana menganjurkan demonstrasi di luar ibu pejabat polis bandar pada musim panas tahun lalu.

"Kami akan terus berjuang mendapatkan kebebasan dan ini bukan masa untuk kita terus sujud kepada Beijing atau menyerah," kata Wong kepada wartawan sebelum perbicaraan bermula.

Di dalam mahkamah, Wong mengaku bersalah menganjurkan perhimpunan haram itu manakala Lam pula mengaku bersalah kerana menghasut dan Chow, 23, mengaku bersalah kerana menghasut serta menyertai tunjuk perasaan.

Ketiga-tiga mereka akan ditahan sementara bagi menunggu keputusan hukuman pada 2 Disember ini, bermakna dipenjarakan dengan jaminan.

Mahkamah Majistret boleh mengenakan hukuman maksimum selama tiga tahun.

Ketika di bawa pergi selepas perbicaraan itu, Wong berteriak: "Semua orang perlu terus bertahan. Saya tahu lebih sukar bagi anda untuk tetap berada di luar sana. Tambahkan minyak!"

'Tambahkan minyak' adalah ungkapan biasa dalam kalangan penduduk Hong Kong, bermaksud dorongan atau kata sokongan, yang juga frasa popular dalam bahasa Kantonis.

Polis menjadi sasaran penunjuk perasaan selepas mereka melepaskan gas pemedih mata dan menembak peluru getah bagi meleraikan kumpulan demonstrasi ketika tunjuk perasaan sebelum ini.

Pasukan keselamatan yang dikepung kumpulan penunjuk perasaan pula dilemparkan dengan telur manakala tembok di sekitar kepulauan itu dicemari lukisan grafiti.

Chow pada awalnya memberitahu beliau mahu mengaku bersalah sebagai strategi mengelakkan hukuman lebih berat.

Wong dan Lam pula pada awalnya enggan mengaku bersalah atas tuduhan tetapi menukar taktik sebaik perbicaraan bermula. - AGENSI

Berita Harian X