Jumaat, 20 November 2020 | 5:38pm
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian. - Foto AFP
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian. - Foto AFP

'China dan sekutunya perlu terima hakikat Hong Kong sebahagian China'

BEIJING: China menegaskan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa sekutunya yang mengeluarkan kenyataan bersama 'menyerang' republik itu baru baru ini, kerana didakwa mencampuri dasar Hong Kong harus menerima kenyataan bahawa bekas jajahan Britain itu kembali ke republik berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian, berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan berkaitan Hong Kong dikeluarkan oleh AS, United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan New Zealand yang bersama-sama membentuk perkongsian risikan dikenali sebagai Five Eyes (Lima Mata).

"Tidak kira jika mereka memiliki lima mata atau 10 mata. Sekiranya mereka berani membahayakan kepentingan kedaulatan, keselamatan dan pembangunan China, mereka harus berhati-hati mata mereka dicucuk dan dibutakan," katanya dalam taklimat harian, semalam.

Baru-baru ini, menteri luar dari lima negara berkenaan mendakwa resolusi kerajaan China yang baharu mengakibatkan pelucutan kelayakan empat Ahli Parlimen pro-demokrasi di Hong Kong yang dianggap sebahagian dari kempen untuk 'senyapkan' semua suara kritikal.

Kenyataan bersama lima negara terbabit turut mendakwa resolusi itu melanggar obligasi antarabangsa dan komitmen China untuk memberikan Hong Kong kuasa autonomi serta kebebasan bersuara.

Hong Kong, bandar berpopulasi 7.5 juta orang pernah dijanjikan kuasa autonomi dalam hal ehwal tempatan selepas 50 tahun kembali ke China pada 1997.

Menurut Zhao lagi, Hong Kong adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari China dan kakitangan awam mesti setia kepada tanah air.

"Ini adalah etika politik asas di setiap negara seluruh dunia, bukan?," katanya.

Keempat-empat Ahli Parlimen yang dilucutkan kelayakan itu pada awalnya dilarang mencalonkan diri untuk dipilih semula kerana gesaan mereka terhadap kerajaan asing yang mengenakan sekatan ke atas China dan Hong Kong.

Bagaimanapun, mereka kekal memegang jawatan berkenaan berikutan pilihan raya ditangguhkan selama setahun.

Tiga bekas Ahli Parlimen pro-demokrasi muncul di mahkamah dekat Hong Kong semalam, sehari sebelum mereka ditahan kerana mengganggu institusi perundangan semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lagu Kebangsaan awal tahun ini.

Salah seorang dari tiga bekas Ahli Parlimen terbabit iaitu Eddie Chu berkata beliau bersedia menghadapi pendakwaan dari pihak diktator kerana tindakan mereka cuba memperuntukkan ordinan lagu kebangsaan yang dianggap menghina dan menyalahgunakan lagu 'March of the Volunteers'. - AGENSI

Berita Harian X