Rabu, 18 November 2020 | 11:13pm
Gabi Ashkenazi (kiri) menyambut ketibaan rombongan Bahrain diketuai Abdellatif, hari ini. - Foto Twitter Gabi Ashkenazi
Gabi Ashkenazi (kiri) menyambut ketibaan rombongan Bahrain diketuai Abdellatif, hari ini. - Foto Twitter Gabi Ashkenazi

Menteri Luar Bahrain tiba di Israel

BAITULMAQDIS: Menteri Luar Bahrain, Abdellatif al-Zayani hari ini, tiba di Israel, iaitu kunjungan julung kali daripada kerajaan Teluk, selepas hubungan normalisasi bersama negara Yahudi, pada September lalu.

Abdellatif disambut rakan sejawatnya, Gabi Ashkenazi di Lapangan Terbang Tel Aviv, Ben Gurion yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Bahrain dan negara Teluk jirannya Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian normalisasi ditaja Amerika Syarikat (AS) dengan Israel di Rumah Putih, pada 15 September lalu, perjanjian dikutuk sebagai 'pengkhianatan' oleh Palestin dan sekutunya.

Perjanjian itu menjejaskan konsensus sudah lama Arab, iaitu tidak perlu normalisasi dengan Israel sehingga mencapai kesepakatan damai menyeluruh bersama Palestin.

Zayani dijadual mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, di Baitulmaqdis, hari ini.

Pompeo ketika lawatan dua harinya dijangka melakukan kunjungan sulung oleh seorang pegawai kanan AS ke sebuah petempatan Yahudi di Tebing Barat.

Rakyat Palestin membantah di petempatan dekat Psagot, dibina atas kota al-Bireh, dalam wilayah Tebing Barat yang dirampas Israel, hari ini. - Foto AFP
Rakyat Palestin membantah di petempatan dekat Psagot, dibina atas kota al-Bireh, dalam wilayah Tebing Barat yang dirampas Israel, hari ini. - Foto AFP

Semua penempatan Yahudi di Palestin dianggap tidak sah oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Pengembangan berterusan di bawah pentadbiran Netanyahu itu berkali-kali membuktikan antara halangan terbesar dalam proses perdamaian dengan Palestin.

AS juga mempunyai hubungan rapat dengan Bahrain. Kerajaan itu kecil tetapi strategik di Teluk berhampiran Iran dan menempatkan Armada Kelima AS.

Ketiga-tiga sekutu, Israel, Bahrain dan AS, melihat Iran yang dikuasai Syiah sebagai ancaman bersama. - AFP

Berita Harian X