Rabu, 18 November 2020 | 7:09pm
Rakyat Syria bersedia untuk meninggalkan kem al-Hol dikuasai Kurdish, iaitu sebahagian daripada DAESH di Syria, Isnin lalu. - Foto AFP
Rakyat Syria bersedia untuk meninggalkan kem al-Hol dikuasai Kurdish, iaitu sebahagian daripada DAESH di Syria, Isnin lalu. - Foto AFP

10 terkorban dalam serangan udara Israel di Syria

BAITULMAQDIS: Seramai 10 pejuang Syria terkorban dalam serangan pesawat Israel yang menyasarkan kepentingan Iran, antara lain disifatkan tindak balas susulan penemuan bahan letupan, berhampiran pangkalan di Bukit Golan.

Serangan udara itu dilakukan beberapa jam sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mendarat di Israel bagi rundingan termasuk berkaitan Iran, yang antara lain lawatan terakhirnya, sebelum Presiden Donald Trump meninggalkan pejabat.

Tentera Israel dalam kenyataan menjelaskan, jet pejuangnya semalam menyerang 'sasaran ketenteraan milik Pasukan Quds, Iran dan angkatan bersenjata Syria'.

Pasukan elit Quds ialah cabang utama operasi luar Pengawal Revolusi Iran.

Katanya, sasaran itu termasuk, 'kemudahan stor, ibu pejabat dan ruang ketenteraan', selain 'permukaan pelancar peluru berpandu Syria'.

Agensi berita Syria, SANA, berkata serangan itu mengorbankan tiga askar, selain beberapa lagi cedera.

Kumpulan pemantau, Syria Observatory for Human Rights menjelaskan, 10 orang terbunuh, termasuk pejuang asing dan tentera Syria.

Pemantau berpangkalan di Britain itu berkata, orang asing terbabit termasuk lima pejuang mungkin 'berketurunan Iran dan tergolong dalam pasukan Quds' serta dua pejuang pro-Iran, tidak memiliki kewarganegaraan.

Israel melakukan ratusan serangan udara dan peluru berpandu ke Syria, sejak perang saudara meletus, pada 2011, yang menyasarkan pasukan Hizbullah Iran dan Lubnan serta pasukan kerajaan. - AFP

Berita Harian X