Jumaat, 13 November 2020 | 8:06am
 Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Muhammad bin Salman. - Foto Saudi Gazette
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Muhammad bin Salman. - Foto Saudi Gazette

Putera Mahkota Arab Saudi ikrar perangi ekstremis

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Muhammad bin Salman berikrar akan memerangi puak ekstremis dengan apa cara sekalipun selepas insiden pengeboman perhimpunan diplomat didakwa dilakukan kumpulan pelampau.

Insiden itu berlaku ketika upacara memperingati Perang Dunia Pertama di tanah perkuburan bukan Islam di Jeddah, pada Rabu.

"Kita akan terus memerangi tingkah laku dan idea puak ekstremis ini, " kata Putera Muhammad ketika berucap pada Majlis Shura iaitu badan penasihat tertinggi kerajaan.

Menerusi ucapan disiarkan Saudi Press Agency, Putera Muhammad turut berharap dunia akan berhenti menyerang simbol keagamaan atas nama kebebasan bersuara kerana ia hanya mewujudkan satu persekitaran untuk kegiatan keganasan.

Dalam kejadian serangan di Jeddah itu, dua mangsa cedera termasuk anggota polis Yunani dan wakil kerajaan Arab Saudi.

Turut dipercayai cedera ialah seorang warga Britain. Ia berlaku beberapa minggu selepas pengawal keselamatan di konsulat Perancis di bandar Laut Merah, cedera akibat diserang dengan pisau yang dibawa oleh warga Arab Saudi, iaitu ketika kemarahan umat Islam terhadap penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Diplomat Perancis, Greece, Itali, Britain dan Amerika Syarikat (AS) hadir dalam upacara memperingati Perang Dunia Pertama itu.

Kedutaan mereka mengutuk serangan itu dengan menyifatkan ia sebagai tindakan pengecut.

Susulan itu, kumpulan pengganas pada Khamis mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden pengeboman terbabit dan menyatakan ia dibuat sebagai tanda protes terhadap kartun yang menyindir Nabi Muhammad oleh Perancis.

Melalui kenyataan oleh wakil kumpulan propaganda, Amaq berkata, serangan itu bertujuan menyasarkan konsul Perancis terhadap tindakan negara itu yang menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Kedutaan Perancis di Riyadh mendesak rakyatnya di Arab Saudi mengambil langkah sangat berwaspada sejak serangan di konsulat Jeddah pada 29 Oktober lalu iaitu hari sama ketika lelaki membunuh tiga individu dengan pisau di sebuah gereja di Nice, selatan Perancis.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dengan tegas mempertahankan hak untuk penerbitan kartun yang dianggap sebagai 'serangan' terhadap beberapa pihak termasuk Nabi Muhammad.

Beliau bagaimanapun cuba meredakan ketegangan atas tindakannya itu.

Tindakan Macron itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam, sehingga mendorong berlakunya tunjuk perasaan di beberapa negara termasuk membakar gambar Presiden Perancis terbabit selain memboikot produk dari negara berkenaan.

Kerajaan Arab Saudi turut mengecam penerbitan kartun itu dengan menegaskan mereka menolak sebarang tindakan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. - AFP

Berita Harian X