Ahad, 8 November 2020 | 8:43am
Palestin meraikan kekalahan Trump, tetapi ragu dengan dasar Biden. FOTO AFP
Palestin meraikan kekalahan Trump, tetapi ragu dengan dasar Biden. FOTO AFP

Kemenangan Biden beri harapan baharu kepada Palestin

BAITULMAQDIS: Pakar menjangkakan kemenangan Joe Biden pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pengunduran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kemenangan Biden itu juga dijangka mewujudkan jalinan hubungan baharu antara Washington dan Palestin.

Netanyahu sebelum ini, menggelar Trump sebagai sekutu Israel paling kuat di Rumah Putih dan dasar digariskan Republikan disokong 'sayap kanan' pentadbiran Perdana Menteri Israel itu.

Trump secara unilateral menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran pada tahun 2015, selain mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Beliau juga menyokong kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan yang dirampas dari Syria dan mengelak mengkritik penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Hasil undian kumpulan pemikir Institut Demokrasi Israel sebelum pemilihan AS mendapati, 63 peratus rakyat Israel mahu Trump menang bagi penggal kedua.

Biden dijangka 'mengubah' banyak rekod Trump sebelum ini.

Biden dilapor berkata, beliau menentang perjanjian pembangunan perdamaian Tebing Barat, selain menyifatkan konsensus antarabangsa mengenai pendudukan Yahudi di wilayah Palestin adalah melanggar undang-undang dunia.

Bagaimanapun, Biden sekian lama menjalin hubungan dengan Israel dalam dasar AS, selain lantang menyokong negara Yahudi dan 'bersahabat' dengan Netanyahu selama 39 tahun.

Beliau pernah mengunjungi Israel pada tahun 1973, beberapa bulan selepas dilantik sebagai Senator AS. - AFP

Berita Harian X