Selasa, 20 Oktober 2020 | 8:39pm
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Abraham Accords, yang julung kali membabitkan UAE dan Israel. - Foto AFP
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Abraham Accords, yang julung kali membabitkan UAE dan Israel. - Foto AFP

UAE mulakan lawatan rasmi pertama ke Israel

DUBAI: Delegasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlepas untuk lawatan rasmi pertama ke Israel hari ini selepas kedua-dua negara setuju untuk memulihkan hubungan bulan lalu.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin, yang menghadiri majlis makan malam bersama pegawai UAE dan Israel di Abu Dhabi semalam, mengiringi delegasi itu menaiki penerbangan Etihad Airways.

"Pagi ini, UAE bersiap sedia menghantar delegasi rasmi pertama ke Israel," kata pengarah komunikasi strategik kementerian luar, Hend Al Otaiba menerusi Twitter.

Menurut beliau, delegasi UAE diketuai Menteri Hal Ehwal Kewangan, Obaid Al Tayer dan Menteri Ekonomi, Abdulla Touq Al Mari.

UAE dan Israel menandatangani perjanjian dipelopori AS untuk memulihkan hubungan di Rumah Putih pada 15 September lalu, menjadikannya usaha pertama seumpamanya membabitkan negara Teluk.

Kedua-dua kerajaan juga dijadualkan menandatangani perjanjian hari ini membenarkan 28 penerbangan komersil dua hala setiap minggu, kata Kementerian Pengangkutan Israel. - AFP

Berita Harian X