Selasa, 6 Oktober 2020 | 2:01pm
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo. - Foto AFP
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo. - Foto AFP

Tindakan China di Asia berniat jahat - Pompeo

TOKYO: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, dalam perjumpaan dengan negara sekutunya di Asia Pasifik hari ini, memberi amaran mengenai niat jahat China yang semakin ghairah menceroboh rantau Asia .

Diplomat tertinggi AS itu berjumpa dengan rakan sejawat di Jepun, Australia dan India dalam sesi lawatan yang terpaksa dipendekkan berikutan krisis COVID-19 di Washington, yang mana Presiden AS, Donald Trump, turut dijangkiti virus itu.

Pompeo terpaksa membatalkan lawatan ke Korea Selatan dan Mongolia dalam rangka lawatan kumpulan negara yang digelar Quad itu.

Menurut pegawai Jabatan Negara AS, dalam perjumpaan dengan Menteri Luar Australia, Marise Payne, Pompeo menekankan kebimbangan mengenai tindakan berniat jahat China di rantau Asia Pasifik.

Sesi lawatan itu dibuat ketika AS, Australia dan India berdepan masalah dengan China terutama berkaitan tuntutan sempadan maritim dan pertikaian sempadan darat.

Pompeo, yang lantang mengkritik China, menyentuh isu berkaitan keselamatan dan hak asasi manusia hinggalah krisis COVID-19, yang mana pentadbiran Trump menuduh China bertanggungjawab sepenuhnya dalam penyebaran virus itu.

Beliau juga menerajui kempen antarabangsa meminta negara lain memboikot China termasuk teknologi yang dihasilkannya.

Kumpulan Quad mendapat sokongan padu bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebagai strategi bagi semua negara demokrasi serantau bekerjasama menghadapi ancaman ketenteraan dan sebarang ancaman lain dari China.

China pula sejak awal membantah pengwujudan kumpulan Quad kerana bersifat eksklusif dan tertutup.

Menteri Luar China, Wang Wenbin, berkata pihaknya berharap negara serantau mengutamakan kepentingan bersama dan bertindak ke arah memupuk keamanan, kestabilan dan pembangunan.

Perjumpaan Quad yang pertama diadakan di New York, AS tahun lalu dan wujud persefahaman untuk menjadikannya acara tahunan.

Pompeo dijangka menemui Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, petang ini sebelum kembali ke Washington. - AFP

Berita Harian X