Selasa, 6 Oktober 2020 | 9:00am
Kakitangan Sotheby's menunjukkan berlian 102.39 karat berbentuk bujur, tanpa kecacatan. - Foto AFP
Kakitangan Sotheby's menunjukkan berlian 102.39 karat berbentuk bujur, tanpa kecacatan. - Foto AFP

Berlian sukar ditemui dilelong RM65 juta

HONG KONG: Sebutir berlian tanpa kecacatan yang sukar temui dibeli pada harga AS$15.7 juta (RM65 juta) dalam lelongan awam di Hong Kong petang semalam.

Permata 102.39 karat yang disifatkan tiada kecacatan oleh pelelong Sotheby's itu dibeli oleh pembida yang tidak dinamakan pada lelongan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan 77 Diamonds, Tobias Kormind, berkata pembeli batu permata itu mendapat harga yang baik.

"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, pelabur yang bijak beralih kepada aset lebih selamat seperti batu permata, hartanah dan emas," katanya.

Difahamkan, hanya terdapat tujuh lagi berlian yang melebihi 100 karat dan mempunyai kualiti hampir sama pernah dilelong sebelum ini.

Buat kali pertama dalam sejarah pelelongan batu permata, berlian itu dijual tanpa harga rizab, bermakna mana-mana pembida menawarkan harga tertinggi boleh memilikinya.

Berlian ini dibeli pada harga AS$15.7 juta (RM65 juta) dalam lelongan awam di Hong Kong. - Foto Sotheby’s
Berlian ini dibeli pada harga AS$15.7 juta (RM65 juta) dalam lelongan awam di Hong Kong. - Foto Sotheby’s

Dalam kes ini, kata Kormind, ternyata pendekatan itu merugikan penjual kerana harga sebenar berlian berkenaan sepatutnya jauh lebih tinggi.

Batu permata yang secara kasarnya dianggarkan 271 karat ketika ditemui itu, dilombong di Lombong Victor di Kanada pada 2018, yang kini sudah ditutup.

Pengerusi Barangan Kemas Sotheby's, Gary Schuler, berkata antara berlian terbaik ialah berlian putih yang sememangnya sukar ditemui dan amat cantik.

Pada November 2017, berlian terbesar yang pernah dilelong, dengan lebih 163.41 karat, dijual di Geneva pada harga lebih AS$33.8 juta (RM1.4 bilion) termasuk bayaran lain dan komisyen, yang menjadi rekod dunia.

Namun, rekod keseluruhan bagi sebutir berlian dicatat pada April 2017, apabila berlian besar 'Pink Star' dijual pada harga AS$71.2 juta (RM2.95 bilion) pada lelongan Sotheby's di Hong Kong. - AFP

Berita Harian X