Rabu, 30 September 2020 | 8:02am
Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. - Foto EPA
Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. - Foto EPA

Emir Kuwait meninggal dunia

BANDARAYA KUWAIT: Pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, yang dikenali sebagai arkitek dasar luar Kuwait moden dan turut menjadi perantara ketika berlaku ketegangan di kawasan Teluk disahkan meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.

Kerajaan Kuwait segera menamakan adik tirinya berusia 83 tahun, Putera Mahkota Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, sebagai pewarisnya.

Sheikh Sabah mempunyai reputasi yang tinggi sebagai pemimpin yang banyak membantu negaranya dalam serangan Iraq pada 1990, krisis pasaran minyak dunia dan pergolakan di Parlimen dan jalanan.

"Dukacitanya kami berkabung... disebabkan kematian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah," kata menteri hal ehwal diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Sheikh Sabah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) yang sering dikunjunginya untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan di Kuwait.

Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan. Pada September 2019, Sheikh Sabah menjalani ujian perubatan sejurus tiba di AS, menyebabkan perjumpaannya dengan Presiden Donald Trump, terpaksa dibatalkan. - AFP

Berita Harian X