Sabtu, 19 September 2020 | 11:06am
Kakitangan perubatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) mengambil sampel untuk ujian COVID-19 daripada seorang wanita di Hyderabad. - Foto AFP
Kakitangan perubatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) mengambil sampel untuk ujian COVID-19 daripada seorang wanita di Hyderabad. - Foto AFP

Kes positif COVID-19 India meningkat 96,424 kes dalam 24 jam

NEW DELHI: Kementerian Kesihatan memaklumkan jangkitan COVID-19 di India melonjak 96,424 kes dalam tempoh 24 jam, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada lebih 5.3 juta atau 0.37 peratus berbanding 1.4 bilion penduduknya.

Seramai 1,174 orang lagi dilaporkan terkorban dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada keseluruhannya sebanyak 85,625 mangsa.

India juga diramal mempunyai jumlah kes paling tinggi dalam beberapa minggu melepasi Amerika Syarikat (AS), di mana lebih 6.9 juta orang sudah dijangkiti virus itu.

Perdana Menteri, Narendra Modi, pada hari lahirnya Khamis lalu, menggesa penduduk India sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan, berkata India mencatatkan kadar sembuh lebih 78 peratus dengan satu juta kes COVID-19 yang masih aktif.

Lebih 60 peratus kes aktif tertumpu di lima daripada 28 negeri iaitu Maharashtra, Karnataka, Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan Uttar Pradesh.

Paling terjejas adalah bahagian barat Maharashtra di mana 474 daripada 1,174 kematian dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam.

Sehubungan itu, pihak berkuasa melanjutkan larangan berkumpul melebihi empat orang di Mumbai sehingga hujung bulan ini.

Lebih 178,000 penduduk di Mumbai dijangkiti virus terbabit termasuk 8,320 kematian dilaporkan. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X