Ahad, 13 September 2020 | 8:48pm
Orang ramai memakai pelitup muka menyeberangi sebatang jalan di Seoul. - Foto AFP
Orang ramai memakai pelitup muka menyeberangi sebatang jalan di Seoul. - Foto AFP

COVID-19: Korea Selatan kurangkan sekatan di Seoul

SEOUL: Korea Selatan mengambil langkah melonggarkan sekatan sementara membabitkan lebih banyak kawasan di Seoul selepas berlaku penurunan kes COVID-19, kata pihak berkuasa hari ini.

Negara itu sebelum ini telah berjaya menangani peningkatan kes COVID-19 pada awal penularannya dengan menjalankan kaedah pengesanan dan saringan secara meluas.

Bagaimanapun, Korea Selatan kembali berdepan cabaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila berlaku peningkatan kes, sekali gus mencetuskan kebimbangan sekiranya berlaku gelombang kedua pandemik itu.

Kes baharu COVID-19 dilaporkan banyak berlaku di wilayah Seoul yang diduduki oleh separuh daripada 52 juta populasi rakyatnya.

Ia mendorong pihak berkuasa memperketatkan langkah penjarakan sosial pada bulan lalu. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Chung Sye-kyun dalam satu mesyuarat kerajaan berkata, pelonggaran sekatan dikuatkuasakan mulai esok selama dua minggu berikutan penurunan kes COVID-19.

"Kita masih belum menang tetapi kesan daripada langkah memperketatkan kuarantin telah mula menampakkan hasil secara beransur-ansur," katanya.

Mulai esok, rangkaian kafe francais, restoran dan kedai bakeri akan beroperasi seperti biasa, manakala gimnasium dan hagwon atau pusat tuisyen yang sebelum ini ditutup, akan kembali dibuka.

Bagaimanapun, Sye-kyun memberi amaran, peraturan lebih ketat terutama bagi penjarakan sosial akan dikuatkuasakan menjelang cuti bersempena festival menuai atau Chuseok dari 30 September hingga 2 Oktober depan.

Chuseok yang juga salah satu cuti umum terbesar di Korea Selatan menyaksikan jutaan penduduk mengambil peluang untuk bercuti terutama menziarahi keluarga.

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran supaya orang awam tidak menyambut tradisi tahunan itu, laporan tempatan mengesahkan kebanyakan hotel popular bagi percutian telah ditempah sepenuhnya.

"Cuti panjang itu nanti diramal akan menyebabkan krisis terbesar bagi usaha kuarantin untuk memerangi COVID-19 dalam penggal kedua tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sekatan membabitkan perhimpunan beramai-ramai, kelab malam dan pusat karaoke akan diteruskan. Sebelum ini, kes COVID-19 di Korea Selatan meningkat kepada tiga angka sejak 14 Ogos lalu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X