Sabtu, 22 Ogos 2020 | 1:37pm
 Orang ramai di Seoul memakai pelitup muka bagi mengekang penularan COVID-19 yang kini meningkat di negara itu. - Foto AFP
Orang ramai di Seoul memakai pelitup muka bagi mengekang penularan COVID-19 yang kini meningkat di negara itu. - Foto AFP

COVID-19: Korea Selatan ketat garis panduan, kes meningkat

SEOUL: Korea Selatan memperketatkan garisan panduan penjarakan fizikal dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di seluruh negara mulai hari ini.

Langkah itu bagi memerangi penularan penyakit yang merebak dari ibu kota, Seoul.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC), melaporkan sebanyak 315 kes jangkitan tempatan baharu sehingga tengah malam Jumaat.

Kenaikan tiga digit itu bagi penularan tempatan menjadikan keseluruhan negara itu kini sebanyak 17,002 kes dengan 309 kematian.

Korea Selatan dikatakan menggunakan pengesanan kontak termaju dan kit pengujian yang meluas bagi membendung wabak pertama COVID-19, bagaimanapun negara keempat ekonomi terbesar Asia itu kembali menunjukkan peningkatan wabak berterusan sejak beberapa minggu lalu, dengan kebanyakan di Seoul dan kawasan sekitarnya.

Di Seoul dan beberapa bandar sekitarnya, kerajaan kembali menguatkuasakan penjarakan fizikal, melarang perhimpunan disertai ramai, perjumpaan gereja secara langsung selain menutup operasi kelab malam, bar karaoke, bufet dan kafe siber.

Garis panduan sama turut dikenakan di kawasan lain di seluruh negara yang berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, di beberapa kawasan dengan jangkitan yang lebih rendah, ia tidak dikuatkuasakan, namun orang ramai digalakkan mengambil langkah itu.

"Lebih penting kita mengekang penyebaran virus pada tahap awal sebelum ia membawa kepada gelombang berskala besar.

"Bagi kami, tiada lebih penting daripada perlu menyelesaikan COVID-19, " kata Menteri Kesihatan Park Neung-hoo dalam taklimatnya pada Sabtu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X