Selasa, 18 Ogos 2020 | 7:31am
Tragedi letupan yang memusnahkan sekitar kawasan pelabuhan serta mengakibatkan ribuan kehilangan tempat tinggal. - Foto AFP
Tragedi letupan yang memusnahkan sekitar kawasan pelabuhan serta mengakibatkan ribuan kehilangan tempat tinggal. - Foto AFP

Hospital Lubnan hampir penuh rawat pesakit COVID-19

BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan, semalam memberi amaran bahawa hospital negara itu mencapai keupayaan maksimum merawat pesakit COVID-19 selepas mangsa tragedi letupan baru-baru ini membanjiri klinik sekali gus melonjakkan peningkatan kes.

Menteri Kesihatannya, Hamad Hassan, berkata hospital awam dan swasta terutama di ibu kota mempunyai kapasiti sangat terbatas, baik dari segi katil rawatan di unit rawatan intensif mahupun peralatan pernafasan.

"Kami berada di tengah kemelut serius dan tidak mempunyai banyak masa," kata pada sidang media.

Beliau mendesak pihak berkuasa mengambil 'keputusan segera' untuk melaksanakan perintah berkurung selama dua minggu bagi membendung penyebaran virus.

Lubnan menghadapi lonjakan kes dan kematian akibat COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, di samping negara itu mencatatkan rekod baharu selepas letupan besar yang melanda sebahagian besar, Beirut pada 4 Ogos lalu.

Tragedi yang mengorbankan 177 mangsa dan mencederakan lebih 6,500 orang akibat terkena serpihan bangunan runtuh dan kaca mengakibatkan pesakit membanjiri hospital yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai susulan wabak COVID-19 melanda.

Lubnan dalam tempoh 24 jam lalu, melaporkan 456 jangkitan baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 9,337 kes, dengan 105 kematian sejak penularan pandemik itu, pada Februari lalu.

Perintah berkurung yang dirancang sebelum ini dibatalkan susulan tragedi letupan itu yang memusnahkan sekitar kawasan pelabuhan serta mengakibatkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

Di ibu kota, unit rawatan rapi dan jabatan yang ditubuhkan merawat COVID-19 di hospital awam penuh.

"Di kebanyakan hospital swasta yang menerima pesakit COVID-19, katil unit rawatan intensif sudah penuh dihuni pesakit itu," kata menteri itu kepada radio Voice of Lebanon.

Hassan berkata, keadaan itu bertambah buruk selepas beberapa hospital Beirut dilanda letupan hingga mengakibatkan tidak lagi dapat berfungsi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 12 Ogos lalu mengatakan lebih daripada separuh daripada 55 kemudahan penjagaan kesihatan yang dinilai oleh agensi itu 'tidak berfungsi' selain masing-masing tiga hospital besar dan hospital yang lain tidak dapat beroperasi pada kapasiti biasa. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X