Sabtu, 8 Ogos 2020 | 12:38pm
Pegawai melakukan pemeriksaan terhadap bangkai pesawat Air India Express yang terbelah dua selepas terbabas dan tergelincir daripada landasan ketika mendarat di selatan India. - Foto AFP
Pegawai melakukan pemeriksaan terhadap bangkai pesawat Air India Express yang terbelah dua selepas terbabas dan tergelincir daripada landasan ketika mendarat di selatan India. - Foto AFP

17 terkorban, pesawat Air India Express tergelincir

KOZHIKODE, INDIA: Sekurang-kurangnya 17 maut semalam, ekoran kejadian pesawat penumpang terbelah dua apabila terbabas dan tergelincir daripada landasan ketika mendarat di selatan India, kata pegawai.

Lebih 100 mangsa cedera dengan 15 parah, selepas Air India Express Boeing 737 dari Dubai, iaitu pesawat evakuasi COVID-19, tergelincir dari landasan memasuki tebing ketika hujan lebat di Kozhikode.

Pegawai berkata, 191 penumpang dan krew menaiki pesawat yang menjunam 10 meter dari landasan yang dikatakan sukar untuk mendarat di Kerala. Pesawat itu bagaimanapun tidak terbakar.

Pegawai Kozhikode, Seeram Sambasiva, berkata, setakat ini, 17 orang terkorban.

Menurut senarai pesakit, dua bayi, masing-masing berusia 10 dan 18 bulan adalah antara yang terkorban.

Seorang daripada juruterbang terkorban dalam kejadian itu, Deepak Sathe, adalah bekas juruterbang pesawat tempur tentera udara, menurut laporan.

Polis kanan tempatan, Abdul Karim, berkata sekurang-kurangnya 15 penumpang parah dan dirawat di hospital tempatan.

Media India memetik data daripada laman web pengesanan penerbangan memaparkan pesawat itu dilihat berusaha mendarat sebanyak dua kali, selain mangsa memaklumkan stesen televisyen tempatan bahawa pesawat itu naik dan turun berulang kali sebelum mendarat.

Anggota penyelamat dan orang tempatan bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa walaupun keadaan sekeliling gelap dan hujan.

Beberapa mangsa terpaksa dikeluarkan daripada pesawat selepas badan kapal terbang itu terpaksa dipotong. - AFP

Berita Harian X