Khamis, 6 Ogos 2020 | 10:14am
Gambar menunjukkan kesan letupan di Pelabuhan Beirut semalam. Foto AFP
Gambar menunjukkan kesan letupan di Pelabuhan Beirut semalam. Foto AFP

Tragedi Beirut: Kematian meningkat kepada 135, darurat diumum

BEIRUT: Kabinet Lubnan semalam mengumumkan darurat di Beirut selama dua minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut telah meningkat menjadi 135 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut semalam sekitar jam 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan bangunan di seluruh ibu kota Lubnan dan menyebabkan kerosakan besar di bandar.

Menteri Kesihatan, Hamad Hassan mengumumkan bahawa setakat ini letupan telah menyebabkan 135 orang mati dan 5,000 yang lain cedera.

Keadaan darurat akan berada di bawah pengawasan tentera Lubnan yang akan menjaga keamanan di kota terbabit.

Maklumat utama menunjukkan bahawa ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang Nombor 12 di Pelabuhan Beirut mungkin penyebab letupan.

Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang sedar dan terbabit dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat di Pelabuhan Beirut.

Kabinet juga mendesak Kementerian Kerja Raya untuk mengendalikan kegiatan import dan eksport melalui Pelabuhan Tripoli di Lebanon, disebabkan kemusnahan akibat tragedi itu.

Suruhanjaya Bantuan akan berusaha untuk membuka sekolah dan hotel untuk mereka yang kehilangan rumah.

Siasatan terhadap bencana itu sedang berjalan dan Majlis Pertahanan berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa lima hari. - BERNAMA

Berita Harian X