X
Rabu, 5 Ogos 2020 | 4:41pm
Orang ramai menunggu kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, bagi majlis meletakkan batu asas pembinaan kuil. - Foto AFP
Orang ramai menunggu kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, bagi majlis meletakkan batu asas pembinaan kuil. - Foto AFP

Modi bakal letak batu asas kuil di lokasi konflik

AYODHYA: Bandar Ayodhya semalam bersiap sedia untuk upacara yang bakal dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi, bagi meletakkan batu asas kuil Hindu di atas runtuhan masjid yang dimusnahkan perusuh pada 1992.

Pembinaan kuil di utara India itu, yang akan bermula hari ini dan disiarkan secara langsung di televisyen, adalah antara ikrar parti nasionalis Hindu diketuai Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) sejak sekian lama.

Sebuah masjid berdiri di tapak itu selama hampir 500 tahun sehingga ia dimusnahkan fanatik Hindu pada 1992.

Tragedi itu mencetuskan rusuhan di seluruh India hingga meragut 2,000 nyawa, kebanyakannya penduduk India beragama Islam, yang menjadi antara keganasan agama terburuk sejak negara itu mencapai kemerdekaan.

Penganut Hindu percaya tapak asal itu adalah kuil yang dibina bagi memperingati dewa pahlawan Rama dilahirkan di Ayodhya kira-kira 7,000 tahun lalu, namun sebuah masjid dibina di atas tempat kelahirannya sekitar kurun ke-16.

Pada November tahun lalu, mahkamah tertinggi India menyerahkan kawasan itu kepada penganut Hindu selepas melalui proses perundangan selama berpuluh tahun lamanya, serta memberikan lokasi lain kepada orang Islam untuk membina masjid.

Ia adalah kejayaan hebat bagi BJP, namun pengkritik melihatnya sebagai agenda Modi untuk mengubah India daripada negara sekular kepada negara Hindu, sekali gus meminggirkan 200 juta rakyat beragama Islam, namun dinafikan beliau.

Hari ini juga menandakan genap setahun sejak kerajaan Modi melucutkan status autonomi dan melaksanakan perintah langsung terhadap Kashmir yang majoritinya didiami penganut Islam, juga antara ikrar BJP.

Upacara Ayodhya yang diadakan pada tarikh dipilih ahli nujum, dipendekkan kerana COVID-19, apabila sekurang-kurangnya dua sami dan orang kanan Modi yang juga Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, disahkan positif virus itu.

Bekas Presiden Pusat Kajian Dasar (CPR), Pratap Bhanu Mehta, berkata esok adalah penentu pembentukan asas kepada struktur yang berbeza bagi Perlembagaan India.

"Ia bukan saja mengenai kuil baharu, tapi menggambarkan hakikat bahawa asas struktur perlembagaan India sedang berubah," katanya. - AFP

Berita Harian X