Rabu, 5 Ogos 2020 | 3:05pm
KOMANDO Lubnan membantu mangsa di kejiranan Mar Mikhael selepas letupan di Pelabuhan Beirut petang semalam. Foto AFP
KOMANDO Lubnan membantu mangsa di kejiranan Mar Mikhael selepas letupan di Pelabuhan Beirut petang semalam. Foto AFP

Petugas PBB turut cedera

WASHINGTON: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata "beberapa" pekerjanya cedera dalam peristiwa letupan besar yang menggegarkan Beirut, Lubnan, mengorbankan sekurang-kurangnya 63 orang dan mencederakan ribuan yang lain, lapor Agensi Berita Anadolu.

Timbalan jurucakap Setiausaha Agung Antonio Guterres, Farhan Haq, tidak memberikan butiran lanjut berhubung perkara itu.

Guterres turut "mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa juga buat rakyat dan kerajaan Lubnan," kata Haq.

"Diharapkan mangsa yang cedera, termasuk beberapa anggota PBB yang bekerja di Lubnan cepat pulih. PBB tetap komited menyokong Lubnan pada saat yang sukar ini dan aktif membantu menangani insiden itu," tambah Haq.

Puluhan dilaporkan terkorban manakala 2,750 yang lain cedera dalam letupan di pelabuhan Beirut itu, kata menteri kesihatan Lubnan pada Selasa.

Ramai mangsa dilaporkan terperangkap di bawah serpihan runtuhan bangunan, misi mencari dan menyelamat sedang berjalan.

Gabenor Beirut Marwan Abboud yang kelihatan menitiskan air mata ketika bercakap kepada wartawan di tempat kejadian, membandingkan peristiwa itu dengan pengeboman nuklear Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada 1945.

Letupan itu berlaku pada waktu sangat mencabar, beberapa hari sebelum Tribunal Khas PBB untuk Lubnan dijadual mengumumkan keputusan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri, yang terbunuh dalam letupan besar di Beirut pada 2005.

Negara itu juga sedang dilanda krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad dan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, memetik sumber, Hezbollah menafikan letupan itu berpunca daripada serangan Israel di depoh senjata mereka.

Pegawai Israel yang enggan namanya disiarkan pula menafikan pembabitan rejim itu dalam tragedi berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X