Rabu, 5 Ogos 2020 | 2:19pm
Kerosakan akibat letupan di Pelabuhan Beirut petang Selasa yang menggegarkan sebahagian besar ibu kota Beirut. - Foto AFP
Kerosakan akibat letupan di Pelabuhan Beirut petang Selasa yang menggegarkan sebahagian besar ibu kota Beirut. - Foto AFP

Rakyat Australia maut dalam letupan di Beirut

SYDNEY: Seorang warga Australia terbunuh manakala pejabat kedutaan negara itu turut musnah dalam tragedi letupan dahsyat di Beirut, Lubnan, petang semalam.

"Dengan berat hati saya maklumkan terdapat seorang rakyat Australia terbunuh dalam tragedi letupan berkenaan," kata Perdana Menteri, Scott Morrison dalam program The Today Show.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi maklumat terperinci mengenainya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Australia, Marise Payne memberitahu ABC Radio, pejabat kedutaan Australia musnah akibat letupan itu.

"Saya difahamkan 95 peratus tingkap di bahagian depan pejabat kedutaan berkecai dan ada kakitangan yang cedera akibat terkena serpihan kaca berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka cuma cedera ringan dan sudah mendapatkan rawatan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Jerman memaklumkan kakitangan kedutaannya turut tercedera dalam tragedi letupan itu.

"Buat masa ini, kami mengesahkan ada kakitangan pejabat kedutaan yang cedera dalam tragedi berkenaan," katanya.

Kementerian Luar Jerman turut memberitahu, bangunan kedutaan negara itu yang terletak berdekatan pelabuhan turut rosak, namun masih tidak dapat mengesahkan tahap kemusnahan akibat insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan meningkat kepada 73 kematian dan 3,700 mengalami kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang waktu tempatan semalam, dua letupan kuat di Pelabuhan Beirut menggegarkan ibu kota itu. Beberapa bangunan di sekitar kawasan tersebut termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri yang dilihat musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu malah impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu dan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.

Terdapat juga rakaman dari pelabuhan menunjukkan kerosakan besar pada bangunan dan kereta, serta orang yang cedera dalam letupan itu.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, insiden itu menggegarkan bangunan yang terletak jauh dari Beirut dan menyebabkan situasi panik serta huru hara di ibu kota itu. - AFP

Berita Harian X