Rabu, 5 Ogos 2020 | 11:55am
Kombinasi gambar letupan di sebuah gudang menyimpan ammonium nitrat di Pelabuhan Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Kombinasi gambar letupan di sebuah gudang menyimpan ammonium nitrat di Pelabuhan Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Asap tebal daripada letupan di Pelabuhan Beirut, Lubnan,petang Selasa. - Foto AFP
Asap tebal daripada letupan di Pelabuhan Beirut, Lubnan,petang Selasa. - Foto AFP

Letupan di Beirut, tragedi terburuk atasi serangan Israel 2006

BEIRUT: Ibu kota Beirut musnah selepas kejadian letupan dahsyat yang berlaku semalam dan mengakibatkan puluhan penduduk terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.

Letupan pada petang Selasa di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut, yang digunakan untuk menyimpan kira-kira 3,000 tan bahan kimia ammonia nitrat yang disita.

Pada lewat malam tadi, Majlis Pertahanan Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan menggesa Kabinet untuk mengeluarkan perintah darurat, lapor agensi berita, ArabNews.

Bahagian timur Pelabuhan Beirut musnah sepenuhnya dan kerosakan di ibu negara itu disifatkan sebagai lebih buruk daripada serangan Israel pada 2006.

Menurut pihak tentera, ammonia nitrat yang meletup itu digunakan sebagai baja pertanian dan ia disita di gudang itu sejak beberapa tahun lalu.

 Anggota mencari dan menyelamat menggali kawasan runtuhan sebuah bangunan yang rosak teruk di Beirut, Lubnan untuk mencari mangsa yang mungkin masih terselamat dalam runtuhan di pelabuhan sebulan lalu. - Foto AFP
Anggota mencari dan menyelamat menggali kawasan runtuhan sebuah bangunan yang rosak teruk di Beirut, Lubnan untuk mencari mangsa yang mungkin masih terselamat dalam runtuhan di pelabuhan sebulan lalu. - Foto AFP

Menurut pihak tentera, ammonia nitrat yang meletup itu digunakan sebagai baja pertanian dan ia disita sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyimpannya di pelabuhan berkenaan yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan dan pusat komersial. Amaran turut dikeluarkan berikutan kepulan asap tebal beracun yang tersebar di ibu kota berpunca daripada letupan berkenaan.

Pihak berkuasa turut menasihati orang awam supaya tidak menghidu asap tebal berkenaan yang dijangka akan terus menyelubungi Beirut sekurang-kurangnya sehingga esok.

Bagaimanapun, masih ada orang awam yang dilihat mengambil gambar kemusnahan dan sebahagiannya tidak memakai pelitup muka untuk melindungi diri mereka daripada toksin.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa hospital terutama di timur Beirut, dekat Achrafieh mengalami kemusnahan teruk akibat letupan berkenaan.

Individu dengan kecederaan kurang kritikal terpaksa dipindahkan ke bahagian parkir kereta berdekatan, manakala mereka yang lebih berisiko dibawa ke hospital luar dari Beirut.

Menteri Kesihatan Lubnan, Hamad Hassan, pula berkata kos rawatan bagi penduduk yang cedera akibat tragedi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Setakat malam tadi, pihak berkuasa melaporkan kira-kira 73 individu meninggal dunia dalam tragedi berkenaan.

Bagaimanapun, angka itu dijangka akan terus meningkat, memandangkan masih ada mangsa yang belum dijumpai akibat tertimbus di dalam runtuhan rumah dan bangunan akibat letupan berkenaan.

Antara bangunan kerajaan yang rosak termasuk ibu pejabat Perdana Menteri, The Grand Serail, pejabat Kementerian Kewangan dan Kementerian Telekomunikasi.

Dalam pada itu, isteri dan anak kepada Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab yang menetap di Serail turut dirawat kerana mengalami kecederaan ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang waktu tempatan semalam, dua letupan kuat menggegarkan Beirut sehingga mengakibatkan kira-kira puluhan orang terbunuh manakala lebih 2,000 cedera.

Akibat daripada letupan yang dipercayai berlaku di pelabuhan itu, beberapa bangunan di sekitar kawasan tersebut termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu malah impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu dan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.

Terdapat juga rakaman dari pelabuhan menunjukkan kerosakan besar pada bangunan dan kereta, serta orang ramai yang cedera dalam letupan itu. - AGENSI

Berita Harian X