Ahad, 26 Julai 2020 | 12:26pm
 Foto yang diedarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menunjukkan kumpulan pertama jemaah haji menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada Sabtu untuk menunaikan haji tahun ini. - Foto Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi / AFP
Foto yang diedarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menunjukkan kumpulan pertama jemaah haji menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada Sabtu untuk menunaikan haji tahun ini. - Foto Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi / AFP

'Tiada campur tangan dalam pemilihan jemaah haji'

JEDDAH: Pemilihan jemaah haji tahun ini dilaksana bersandarkan mekanisme yang telus dan utuh, tanpa membabitkan sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh Benten, berkata pendirian sedemikian tidak memberikan pengecualian kepada sesiapa, termasuk dalam kalangan petugas rasmi untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

"Sama sekali tidak ada campur tangan oleh mana-mana pihak dalam memilih jemaah yang akan menyertai ibadah haji tahun ini. Kami mempunyai mekanisme yang telus dan utuh," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, semua perancangan haji sudah disusun secara jelas dan ketat, bermula dengan pusat kuarantin.

Di samping itu, katanya, kerajaan sudah berusaha keras memastikan keadaan selamat untuk tujuan ziarah, di samping mengutamakan keselamatan jemaah supaya tiada jangkitan antara satu sama lain dalam kalangan mereka.

Kira-kira setengah juta jemaah berada di Tanah Suci ketika pandemik bermula Mac lalu.

"Langkah pencegahan yang ketat diambil untuk mencegah penularan yang lebih luas di Makkah dan Madinah," katanya.

Katanya, dalam tempoh sedekad lalu, Arab Saudi menerima lebih 150 juta umat Islam menunaikan haji dan umrah dari seluruh dunia

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadah haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik. - Agensi

Berita Harian X