Ahad, 19 Julai 2020 | 11:40am
Polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, di Baitulmaqdis. - Foto AFP
Polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, di Baitulmaqdis. - Foto AFP

Polis Israel tembak meriam air suraikan tunjuk perasaan anti kerajaan

BAITULMAQDIS: Polis Israel menembak meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan anti kerajaan yang disertai ribuan orang semalam, susulan kemarahan memuncak berhubung cara kerajaan Zionis itu mengendalikan krisis COVID-19.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Baitulmaqdis dan di sebuah taman di Tel Aviv.

Mereka menyuarakan kekecewaan terhadap pemerintah, yang didakwa gagal mengekang pandemik yang semakin merebak mengakibatkan kemusnahan ekonomi.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata pegawainya ada memberi kebenaran untuk demonstrasi diadakan, namun terpaksa bertindak terhadap 'gangguan' apabila ada yang menghalang jalan raya.

Tambah beliau, penunjuk perasaan di Tel Aviv pada awalnya menyemburkan cecair pemedih lada ke arah pihak polis, yang membawa kepada banyak penangkapan.

Israel mencatatkan lebih 1,000 jangkitan baharu harian COVID-19 sejak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sehingga memaksa kerajaan mengumumkan pelbagai larangan baharu kelmarin.

Premis perniagaan, pasar serta tempat awam lain ditutup pada hujung minggu, sementara restoran pula hanya dibenar mengambil pesanan untuk dibawa pulang atau membuat perkhidmatan penghantaran.

Dalam usaha meredakan kemarahan rakyat, Netanyahu minggu ini mengumumkan rancangan memberi bantuan tunai kepada semua rakyat Israel.

Namun, ia dikritik beberapa pakar yang mengatakan ekonomi memerlukan bantuan bersasar, bukannya pembayaran kepada keseluruhan rakyat.

Tatkala sebilangan penunjuk perasaan menyuarakan kekecewaan atas sekatan yang kembali dikuatkuasa, ada pula yang mengecam pentadbiran kerajaan kerana gagal meningkatkan keupayaan ujian menjelang jangkitan gelombang kedua.

Selain krisis COVID-19, Netanyahu juga didesak meletak jawatan kerana menghadapi tuduhan rasuah dengan menerima hadiah dan meminta media membuat liputan positif terhadapnya, namun ia dinafikan beliau.

Perbicaraan rasuahnya bersambung semula di Baitulmaqdis hari ini tetapi beliau tidak dijangka menghadiri perbicaraannya itu. - AFP

Berita Harian X