Isnin, 13 Julai 2020 | 12:27pm
 Potret mendiang Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon dibawa ketika upacara pengebumian dijalankan di Dewan Bandaraya Seoul. - Foto AFP
Potret mendiang Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon dibawa ketika upacara pengebumian dijalankan di Dewan Bandaraya Seoul. - Foto AFP

Pengebumian Datuk Bandar Seoul diadakan di sebalik bantahan

SEOUL: Upacara pengebumian Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon yang membunuh diri selepas didakwa melakukan gangguan seksual diadakan pada Isnin walaupun dibantah hampir setengah juta penduduk.

Won-soon yang juga bekas peguam hak asasi manusia adalah tokoh penting dalam parti Demokratik yang memegang jawatan Datuk Bandar hampir satu dekad.

Mendiang ditemui mati di sebuah gunung pada Jumaat, sehari selepas bekas setiausahanya membuat laporan polis berhubung gangguan seksual dan dilaporkan secara meluas.

Walaupun timbul kontroversi mengenai kematian mendiang, pemerintah Seoul City menganjurkan upacara pengebumian selama lima hari, dua hari lebih lama daripada upacara pengebumian penduduk Korea yang bermula pada hari kematian.

Lebih 20,000 orang hadir memberi penghormatan dalam tempoh berkabung, dan pada Isnin, anak perempuannya berkata: "Saya dapat merasakan kegembiraan ayah saya ketika saya bertemu orang ramai."

Petisyen dalam talian di laman sesawang presiden yang membantah upacara berkenaan mengumpul lebih 500,000 tandatangan.

"Adakah orang ramai harus menyaksikan pengebumian mewah seorang ahli politik selama lima hari yang membunuh diri kerana tuduhan gangguan seksual?" menurut petisyen itu.

"Apakah mesej yang cuba disampaikan," katanya.

Presiden Moon Jae-in mengirim bunga dan ketua kakitangannya menghadiri majlis pengebumian secara peribadi, begitu juga pegawai kanan lain dari parti Demokratik.

Bagaimanapun pemangku pemimpin pembangkang parti United Future dan juga pemimpin People's Party, Ahn Cheol-soo tidak melakukannya. - AFP

Berita Harian X