Ahad, 12 Julai 2020 | 9:04pm
Gambar fail pada 8 Januari menunjukkan lokasi pesawat penumpang Ukraine terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Iran. - Foto AFP
Gambar fail pada 8 Januari menunjukkan lokasi pesawat penumpang Ukraine terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Iran. - Foto AFP

Kesilapan penjajaran radar punca pesawat Ukraine ditembak

TEHRAN: Iran mengakui kesilapan penjajaran radar unit pertahanan udara adalah 'kesilapan manusia' utama yang mengakibatkan pesawat penumpang Ukraine ditembak Januari lalu.

Pertubuhan Penerbangan Awam Iran (CAO) dalam laporannya semalam, berkata kegagalan berlaku akibat kesilapan manusia ketika prosedur penjajaran radar, menyebabkan 'pemesongan 107 darjah' dalam sistem.

Kesilapan itu menyebabkan rantaian bahaya yang menyaksikan lebih banyak kesalahan dilakukan sehingga beberapa minit sebelum pesawat itu ditembak.

CAO berkata dokumen terbabit hanya 'laporan fakta' dan bukan laporan akhir siasatan kemalangan itu.

Penerbangan 752, sebuah jet penumpang Ukraine International Airlines, terkena tembakan dua peluru berpandu dan terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang utama Tehran pada 8 Januari lalu.

Ketika itu ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berada di puncak berikutan serangan dron tentera AS dekat lapangan terbang Bahgdad yang mengorbankan komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani.

Pertahanan udara Tehran berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika tragedi pesawat Ukraine itu berlaku, selepas beberapa jam melancarkan serangan terhadap markas tentera AS di Iraq.

Beberapa hari selepas itu, Iran mengakui tersilap tembak pesawat penumpang yang dalam penerbangan ke Kiev itu, mengorbankan kesemua 176 penumpang dan kru.

CAO berkata, walaupun pengendali radar menerima maklumat salah mengenai jajaran pesawat itu, dia seharusnya dapat mengenal pastinya sebagai pesawat penumpang tetapi turut berlaku kesilapan.

Menurut laporan sama, dua peluru berpandu yang disasarkan ke arah pesawat itu ditembak oleh pengendali unit pertahanan yang bertindak tanpa kebenaran Pusat Penyelarasan, seperti mana prosedur ditetapkan. - AFP

Berita Harian X