X
Jumaat, 3 Julai 2020 | 7:30am
 Pertubuhan Tenaga Atom Iran menyiarkan satu foto didakwa diambil dari tapak Natanz , menunjukkan sebuah bangunan satu tingkat rosak. - Foto AFP
Pertubuhan Tenaga Atom Iran menyiarkan satu foto didakwa diambil dari tapak Natanz , menunjukkan sebuah bangunan satu tingkat rosak. - Foto AFP

Iran lapor 'kemalangan' di tapak nuklear

TEHRAN: Tehran pada Khamis melaporkan satu 'kemalangan' di kompleks nuklear di pusat bandar Iran, dengan menyatakan tiada korban nyawa atau pencemaran radioaktif berlaku, selain memberi amaran kepada musuhnya terutama Israel bagi menentang tindakan bermusuhan.

Menurut jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi kepada stesen televisyen negara itu, "tiada bahan nuklear (di gudang yang musnah) dan tiada potensi berlakunya pencemaran".

Kamalvandi berkata, tiada bahan radioaktif atau anggota yang berada di gudang berkenaan di tapak Natanz di pusat bandar Iran itu, satu daripada loji peningkatan uranium utama di negara berkenaan.

Beliau berkata, punca kejadian sedang disiasat dan mendakwa ia disebabkan "sedikit kemusnahan struktur" tanpa menyatakan secara spesifik bagaimana ia berlaku.

Katanya, tiada gangguan kepada kerja di tapak peningkatan dan kakitangan masih bekerja di tahap seperti sebelum ini.

Beberapa jam selepas pengumuman itu, agensi berita Iran, IRNA menyiarkan peringatan bahawa "jika ada tanda negara musuh melintasi garisan merah Iran dalam apa juga cara, terutama rejim Zionis (Israel) dan Amerika Syarikat, strategi Iran bagi berdepan situasi baharu itu mesti dipertimbangkan secara asas".

Pertubuhan Tenaga Atom Iran menyiarkan satu foto didakwa diambil dari tapak itu, menunjukkan sebuah bangunan satu tingkat dengan bumbung yang musnah, dinding hitam kerana terbakar dan pintu tergantung seperti terangkat dari dalam.

Televisyen negara itu kemudian menunjukkan sudut lain bangunan dengan kerosakan kecil pada dinding dan beberapa kipasnya masih berfungsi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan badan nuklear, gudang berkenaan sedang dalam pembinaan dan kemalangan itu tidak mengorbankan nyawa. - AFP

Berita Harian X