Rabu, 1 Julai 2020 | 2:42pm
Timbalan Pengarah Eksekutif Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau di bawah Majlis Negeri, Zhang Xiaoming. - Foto AFP
Timbalan Pengarah Eksekutif Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau di bawah Majlis Negeri, Zhang Xiaoming. - Foto AFP

Undang-undang Hong Kong bukan urusan negara lain - China

BEIJING: China membidas tindakan pihak antarabangsa mengkritik penguatkuasaan undang-undang keselamatan baharu yang penuh kontroversi dan meminta mereka jangan campur urusan dalaman negara lain.

Kuasa barat dan pengkritik memberi amaran bahawa undang-undang baharu itu akan mengekang kebebasan Hong Kong menjejaskan dasar 'Satu Negara, Dua Sistem' yang diwujudkan bagi melindungi kebebasannya.

China pula menegaskan bahawa sesi rundingan panjang lebar bersama masyarakat Hong Kong sudah dilaksanakan dan membalas semula kritikan mendakwa undang-undang itu menjejaskan autonomi Hong Kong.

Timbalan Pengarah Eksekutif Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau di bawah Majlis Negeri, Zhang Xiaoming, pada satu sidang media, menolak kritikan terhadap undang-undang itu.

"Apa hubung kaitnya dengan anda...ia bukan urusan anda. Jika apa yang kita mahukan adalah satu negara, satu sistem, ia akan menjadi lebih mudah.

"Kita sudah sepenuhnya mampu melaksanakan undang-undang jenayah, prosedur jenayah dan undang-undang keselamatan dan undang-undang kebangsaan lain di Hong Kong.

"Mengapa kita perlu melakukan begitu banyak usaha untuk membentuk satu undang-undang keselamatan nasional yang dibuat khusus untuk Hong Kong," katanya.

Pada masa sama, Zhang turut menegaskan bahawa undang-undang itu, yang menurutnya tidak terpakai secara retrospektif, hanya menyasarkan sebilangan kecil penjenayah.

"Tujuan undang-undang keselamatan ini bukannya menyasarkan kumpulan pembangkang Hong Kong atau kumpulan pro-demokrasi.

"Sebaliknya, dasar 'satu negara, dua sistem' ini menunjukkan tolak ansur politik kerajaan, " katanya.

Kenyataan Zhang itu dibuat selepas sehari parti pro-demokrasi Hong Kong, Demosisto mengumumkan pembubarannya, susulan kelulusan undang-undang keselamatan nasional itu. - AFP

Berita Harian X