Rabu, 1 Julai 2020 | 1:40pm
Bendera China (kanan) dan bendera Hong Kong berkibar pada acara memperingati ulang tahun ke 23 penyerahan Hong Kong daripada Britain. - Foto AFP
Bendera China (kanan) dan bendera Hong Kong berkibar pada acara memperingati ulang tahun ke 23 penyerahan Hong Kong daripada Britain. - Foto AFP

Hong Kong rai ulang tahun penyerahan kepada China

HONG KONG: Hong Kong meraikan ulang tahun ke-23 'penyerahan' wilayah itu kepada China diselubungi kerisauan mengenai undang-undang keselamatan baharu yang diluluskan semalam.

Sepanjang acara penyerahan itu, kelihatan helikopter melintasi ruang udara dengan kibaran bendera China yang lebih besar saiznya berbanding bendera Hong Kong.

Selain itu, sebuah kapal besar yang berlabuh di Pelabuhan Victoria mengibarkan kain rentang yang ditulis 'Selamat Datang Undang-Undang Keselamatan Kebangsaan'.

Bagaimanapun, tidak jauh dari lokasi itu, 10 aktivis veteran pro-demokrasi mengadakan tunjuk perasaan dengan melaungkan kata-kata 'Akhiri pentadbiran satu pihak' dan 'Tarik balik undang-undang keselamatan nasional.'

Tindakan kumpulan itu membawa padah apabila pihak polis mula memburu dan menjejaki mereka.

Ulang tahun penyerahan Hong Kong pada tarikh 1 Julai itu sekian lama dianggap sebagai hari 'perpecahan' dan perbezaan pendapat di wilayah separa autonomi itu.

Penyokong setia Beijing menyambut penyerahan Hong Kong kepada tanah besar China selepas satu setengah abad tempoh yang mereka gelar sebagai pentadbiran kolonial mengaibkan di bawah British.

Buat pertama kalinya sejak acara itu disambut 17 tahun lalu, pihak berkuasa melarang perarakan demokrasi 1 Julai.

Undang-undang baharu itu dikhuatiri menyekat kebebasan dan menggugat autonomi hab kewangan itu, yang antara lain melarang empat jenis jenayah iaitu kegiatan subversif atau pemberontakan, pemisahan, keganasan dan campur tangan asing.

Bagaimanapun, pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, yang juga lantikan pro-Beijing, memuji undang-undang itu sebagai pembangunan paling penting sejak wilayah itu dikembalikan kepada China pada 1997.

Namun, tindakan itu dikecam hebat kepimpinan Barat diketuai Washington susulan kebimbangan mereka kemungkinan undang-undang itu akan membawa era baharu penindasan politik mengikut gaya China.

Ketika Britain mengembalikan Hong Kong, China memberi jaminan terhadap kebebasan sivil dan autonomi terhadap kehakiman serta perundangan hingga 2047 melalui perjanjian dikenali sebagai 'Satu Negara, Dua Sistem'.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, berkata China menjanjikan 50 tahun kebebasan kepada rakyat Hong Kong, namun hanya memberikan 23 tahun saja.

Sehubungan itu, tambah beliau, China perlu menghadapi tindak balas akibat perbuatannya, tetapi tidak menjelaskannya dengan lebih terperinci.

Aktivis Hong Kong meminta orang ramai mencabar larangan protes itu dengan berarak ke pulau utama wilayah itu, tengah hari ini.

Namun, tidak jelas sama ada penduduk akan menyahut cabaran itu susulan risiko boleh dikenakan tindakan melalui undang-undang baharu yang berkuatkuasa semalam itu.

Pada masa sama, tindakan polis semakin agresif terhadap peserta perhimpunan sejak akhir-akhir ini walaupun diadakan dalam keadaan aman. - AFP

Berita Harian X