Jumaat, 19 Jun 2020 | 8:04pm
Anggota tentera India dilihat hadapan sebuah masjid di Meej Pampore, di mana berlaku pertempuran dengan kumpulan militan. - Foto AFP
Anggota tentera India dilihat hadapan sebuah masjid di Meej Pampore, di mana berlaku pertempuran dengan kumpulan militan. - Foto AFP

Pihak berkuasa bunuh 8 militan di Kashmir

SRINAGAR: Pasukan keselamatan India membunuh lapan suspek disyaki militan di Kashmir termasuk dua yang bersembunyi dalam masjid.

Pertempuran di Meej Pampore, semalam, berhampiran kawasan majoriti Islam di bandar utama Srinagar, mengakibatkan kematian seorang militan manakala dua lagi terus bertahan sehingga hari berikutnya dengan bersembunyi dalam masjid.

Ketua Polis Kashmir, Vijay Kumar, dalam kenyataan di Twitter, berkata pihak berkuasa menggunakan bom pemedih mata bagi memaksa keluar dan membunuh dua militan terbabit.

Pihak berkuasa juga menembak mati lima lagi suspek disyaki militan yang berlindung dalam kubu bawah tanah di sebuah ladang epal daerah Shopian.

Dua pertempuran itu turut mencetuskan pertembungan antara penduduk kampung yang menyokong militan dan pasukan keselamatan kerajaan.

Berikutan pertempuran dua hari bermula semalam itu, setakat ini lebih 100 suspek disyaki militan dilaporkan terbunuh tahun ini.

Wilayah Kashmir yang ditadbir India itu bergolak sejak Ogos lalu selepas New Delhi menarik balik status separa autonomi dan melaksanakan sekatan perhubungan, yang masih berkuat kuasa sehingga sekarang. - AFP

Berita Harian X