Isnin, 15 Jun 2020 | 9:19pm

China akan punyai kuasa terhadap sebahagian kes keselamatan Hong Kong

HONG KONG: China akan mempunyai bidang kuasa ke atas beberapa kes keselamatan negara yang sangat jarang berlaku di Hong Kong memandangkan ketika ini Beijing bersedia untuk melancarkan undang-undang anti-subversi baharu untuk hab perniagaan separa autonomi itu.

Timbalan Ketua Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau China, Deng Zhonghua, berkata, penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara sebahagian besarnya akan jatuh kepada pihak berkuasa tempatan dan polis Hong Kong.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa pusat juga mempunyai bidang kuasa atas beberapa kes yang sangat jarang berlaku apabila suatu kesalahan berlaku di Hong Kong dan menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan negara China," katanya.

Di bawah perjanjian Satu Negara, Dua Sistem, China berkata akan membiarkan Hong Kong mempertahankan kebebasan dan autonomi tertentu hingga 2047, termasuk kebebasan perundangan dan kehakiman.

Hong Kong digegarkan selama beberapa bulan protes pro-demokrasi yang besar dan sering ganas pada tahun lalu.

Sebagai tindak balas, Beijing mengumumkan rancangan untuk menggesa undang-undang baru yang meliputi penindasan, pemisahan, pengganas dan pengaruh asing bagi mengembalikan kestabilan dan kebebasan politik utuh, jelas menunjukkan badan perundangan Hong Kong gagal meluluskan undang-undang keselamatan nasionalnya selama ini.

Namun, bagi pihak lawan termasuk kebanyakan negara barat, bimbang ia akan membawa penindasan politik kepada tanah besar, menunjukkan bagaimana undang-undang anti-subversi secara rutin digunakan untuk menghancurkan perbezaan pendapat di China.

Malah, mereka juga bimbang akan mula berlaku pengikisan autonomi perundangan dan kehakiman Hong Kong, sebagai hab perniagaan antarabangsa utama.

Parlimen Beijing sebelum ini berkata, undang-undang itu akan membenarkan agensi keselamatan di darat beroperasi secara terbuka di Hong Kong untuk pertama kalinya.

Namun, Deng menjelaskan pemerintah pusat dan kerajaan Hong Kong perlu menubuhkan sebuah organisasi yang dikhaskan untuk menjaga keselamatan negara.

"Pemerintah pusat akan membantu mengawasi dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menegakkan keselamatan negara," kata Deng. - AFP

Berita Harian X