Selasa, 9 Jun 2020 | 7:01pm
Gambar fail, sebuah jet pejuang F-16 Taiwan terbang di sebelah pengebom H-6 China (atas) di ruang udara Taiwan. - Foto Kementerian Pertahanan Taiwan/AFP melalui Getty Images
Gambar fail, sebuah jet pejuang F-16 Taiwan terbang di sebelah pengebom H-6 China (atas) di ruang udara Taiwan. - Foto Kementerian Pertahanan Taiwan/AFP melalui Getty Images

Jet pejuang China ceroboh ruang udara Taipei

TAIPEI: Jet pejuang China menceroboh ruang udara Taiwan hari ini, memaksa kepulauan itu menggerakkan jet milik tenteranya untuk mengusir mereka.

Pertembungan itu berlaku sejurus selepas Taiwan mengumumkan perancangan mengadakan latihan ketenteraan terbesar mereka, 'Han Kuang', pada bulan depan, mencakupi simulasi komputer dan latihan pertahanan.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata mereka mengeluarkan amaran dan mengambil tindakan proaktif untuk 'menghalau' beberapa jet pejuang SU-30 milik China di barat daya kepulauan itu.

"Tentera kami sedang memantau sepenuhnya keadaan laut dan ruang udara sekitar Selat Taiwan, serta mengambil pendekatan aktif bagi mengawal keselamatan wilayah kami," katanya dalam satu kenyataan.

China meningkatkan pergerakan jet pejuang dan kapal perang berhampiran Taiwan atau merentasi Selat Taiwan sejak Presiden Tsai Ing Wen dilantik kali pertama pada 2016.

Tekanan seumpamanya dari China terus meningkat apabila beliau enggan mengakui kepulauan itu adalah sebahagian daripada China.

China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah mereka dan berikrar menakluki kepulauan itu satu hari nanti, termasuk secara paksa jika perlu.

Ing Wen mengecam China atas tindakan ketenteraan pada Februari lalu, susulan kemunculan jet pejuang China di Selat Taiwan yang memisahkan kedua-dua negara.

Ia adalah pencerobohan besar kali pertama sejak kemenangan Ing Wen dalam pilihan raya Januari lalu.

Beijing turut menghantar kapal pengangkut pesawat, Shandong, ke selat itu pada Disember lalu, sejurus sebelum pilihan raya presiden diadakan. - AFP

Berita Harian X