Khamis, 4 Jun 2020 | 8:26pm
Sekolah di mana penyerang bersenjatakan pisau mencederakan 37 pelajar dan dua orang dewasa. - Foto AFP
Sekolah di mana penyerang bersenjatakan pisau mencederakan 37 pelajar dan dua orang dewasa. - Foto AFP

Serangan pisau di sekolah rendah di China, 39 cedera

BEIJING: Seorang penyerang bersenjatakan pisau mencederakan 37 pelajar dan dua orang dewasa di sebuah sekolah rendah di selatan China hari ini.

Media tempatan mengenal pasti bahawa suspek bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan berusia sekitar 50an dan sudah ditahan.

Menurut pihak berkuasa daerah Cangwu di wilayah Guangxi, kesemua mangsa termasuk seorang kakitangan pengajar, dikejar ke hospital tetapi tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Tragedi di Sekolah Rendah Wangfu Tengah itu berlaku pada waktu pagi ketika kanak-kanak tiba untuk ke kelas.

"37 pelajar mengalami kecederaan ringan dan dua orang dewasa yang terbabit mengalami kecederaan teruk. Kesemua dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, tiada nyawa terancam," katanya.

Sekolah di wilayah itu dibuka semula pada Mei lalu selepas ditutup beberapa bulan berikutan ancaman wabak COVID-19.

Serangan seumpamanya pernah berlaku di beberapa sekolah di China sebelum ini, yang memaksa pihak berkuasa mengambil langkah keselamatan selain menjalankan kajian terhadap punca kenapa ia kerap terjadi.

Pada November lalu, lapan murid maut dan dua lagi cedera akibat kes serangan di sebuah sekolah di wilayah Hubei tengah, di mana seorang individu berusia 40 tahun ditahan.

Serangan bersenjatakan pisau itu mengorbankan dua orang manakala dua lagi cedera di sekolah rendah yang terletak di wilayah Hunan tengah pada April tahun lalu.

Pada April 2018, seorang lelaki membunuh sembilan pelajar sekolah menengah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, sekali gus menjadi tragedi terburuk pernah berlaku di China.

Selain serangan menggunakan pisau, terdapat kes di mana penyerang menggunakan bom buatan sendiri yang mengorbankan lapan orang dan mencederakan puluhan mangsa di luar tadika di wilayah Jiangsu pada Jun 2017. - AFP

Berita Harian X