Khamis, 28 Mei 2020 | 4:34pm
Parlimen China bakal mengundi undang-undang keselamatan baharu Hong Kong hari ini. Foto AFP
Parlimen China bakal mengundi undang-undang keselamatan baharu Hong Kong hari ini. Foto AFP

AS batalkan status istimewa Hong Kong

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membatalkan status istimewa Hong Kong yang termaktub dalam perundangan AS, membuka ruang untuk keistimewaan perdagangan bandar itu dilucutkan, tatkala Washington menuduh China melangkaui autonomi wilayah itu.

Keputusan itu dibuat ketika parlimen China bakal mengundi undang-undang keselamatan baharu Hong Kong hari ini, langkah yang mencetuskan protes terbaru.

Di bawah perundangan yang diluluskan tahun lalu untuk menyokong penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong, pentadbiran AS mesti memperakui bandar itu masih memiliki kebebasan yang dijanjikan Beijing ketika perundingan dengan Britain.

"Tiada mana-mana individu yang munasabah boleh mengesahkan hari ini Hong Kong masih memiliki autonomi dari China, berdasarkan apa yang sedang berlaku," kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, menegaskan hab perdagangan itu tidak berhak untuk terus mendapatkan status istimewa.

Ia bermakna Hong Kong mungkin kehilangan hak istimewa dalam urusan perdagangan dengan negara ekonomi terbesar dunia itu, termasuk tarif lebih rendah berbanding tanah besar.

Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, adalah individu yang akan memutuskan langkah mana yang bakal dilaksanakan, kata pegawai tertinggi kerajaan AS untuk Asia Timur, David Stilwell.

"Semua langkah itu akan dipertimbangkan dan ia akan bersasar untuk mengubah sikap," kata Stilwell kepada pemberita, di samping mengakui Beijing mungkin tidak akan mengubah pendiriannya.

Jelasnya, AS tidak berhasrat membebankan rakyat Hong Kong, sambil menambah keputusan itu dibuat oleh kerajaan di Beijing, bukan AS.

Kongres Rakyat Kebangsaan China hari ini dijangka mengambil satu lagi langkah berhubung undang-undang keselamatan itu yang akan melarang pemisahan, subversif, keganasan dan campur tangan asing, satu langkah yang dilihat aktivis Hong Kong sebagai menghapuskan kebebasan asas. - AFP

Berita Harian X