Khamis, 28 Mei 2020 | 3:55pm
Kes tertinggi dicatat di gudang firma e-dagang, Coupang di Bucheon, Barat Seoul yang merekodkan 69 kes.
Kes tertinggi dicatat di gudang firma e-dagang, Coupang di Bucheon, Barat Seoul yang merekodkan 69 kes.

COVID-19: Korea Selatan catat peningkatan kes tertinggi dalam dua bulan

SEOUL: Korea Selatan merekodkan peningkatan tertinggi kes COVID-19 dalam tempoh dua bulan, sekaligus menimbulkan kegusaran berlakunya gelombang kedua jangkitan dan kerajaan kini berusaha mengenal pasti kluster baharu.

Negara itu sebelum ini dijadikan contoh global dalam mencegah penularan COVID-19 dan sudah mula melonggarkan sekatannya, namun, kini bergegas mengekang jangkitan baharu.

Sehingga hari ini, 79 kes baharu dilaporkan menjadikan angka kumulatif 11,344 kes, dengan kebanyakan kes baharu jangkitan berlaku di kawasan metropolitan Seoul, yang berkepadatan tinggi.

Ia adalah peningkatan tertinggi sejak 81 kes dilaporkan pada 5 April lalu.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit, penularan di gudang firma e-dagang, Coupang di Bucheon, Barat Seoul, merekodkan 69 kes.

Naib Menteri Kesihatan, Kim Gang-lip, berkata seramai 4,100 pekerja dan pengunjung bangunan itu berada di bawah kuarantin kendiri, dengan lebih 80 peratus sudah disaring.

"Kita jangka angka kes baharu membabitkan gudang berkenaan akan terus meningkat sehingga hari ini," katanya.

Perintah penjarakan sosial sudah mula dilonggarkan di Korea Selatan dan beberapa kemudahan seperti muzium dan geraja dibuka semula.

Sesetengah sukan profesional, termasuk bola lisut dan bola sepak, memulakan musim baharu awal bulan ini, walaupun di belakang tabir.

Pelajar juga sudah mula kembali ke kelas sejak minggu lalu, namun terdapat beberapa sekolah yang terpaksa menghantar pulang pelajarnya disebabkan kebimbangan terhadap kes baharu di kejiranan mereka.

Negara itu berdepan penularan awal terburuk selepas China, namun ia tidak mewajibkan perintah berkurung dan amalan penjarakan sosial yang tegas dipatuhi sejak Mac lalu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X