X
Isnin, 18 Mei 2020 | 2:30pm
(Gambar fail) Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif. - FOTO AFP
(Gambar fail) Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif. - FOTO AFP

Iran beri amaran tindakan AS ganggu hantar minyak ke Venezuela

TEHRAN: Menteri Luar Iran semalam memberi amaran terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menghantar armada tentera laut mereka ke Caribbean untuk mengganggu penghantaran minyak republik Islam itu ke Venezuela.

Dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Mohammad Javad Zarif memberikan amaran berhubung tindakan AS itu.

Menurut satu kenyataan Kementerian Luar, Mohammad Javad menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, AS perlu bertanggungjawab atas 'akibat daripada sebarang tindakan menyalahi undang-undang'.

Sabtu lalu, Fars News di Iran mendakwa ia menerima maklumat bahawa empat kapal perang tentera laut AS berada di Caribbean 'berkemungkinan mencetuskan konfrontasi dengan kapal tangki Iran'.

Elliot Abrams daripada Jabatan Negara Venezuela pula mendakwa, Caracas membayar Iran menggunakan emas bagi membantu memulihkan sektor minyak Iran yang terjejas.

AS telah mengenakan sekatan sehala yang bertujuan melumpuhkan eksport minyak Iran dan Venezuela di mana kedua-dua negara itu adalah pengeluar utama minyak mentah dunia.

Timbalan kepada Mohammad Javad telah memanggil Duta Besar Switzerland yang mewakili kepentingan Washington di Tehran, bagi memaklumkan 'amaran serius' Iran.

Abbas Araghchi berkata, sebarang potensi ancaman terhadap kapal tangki Iran akan berdepan 'tindak balas yang pantas dan tegas'. - AFP

Berita Harian X