Isnin, 11 Mei 2020 | 10:12pm
Polis sedang mengambil keterangan selepas menahan penunjuk perasaan di Hong Kong. - Foto AFP
Polis sedang mengambil keterangan selepas menahan penunjuk perasaan di Hong Kong. - Foto AFP

COVID-19: Tunjuk perasaan pertama sejak wabak, 230 ditangkap

HONG KONG: Polis Hong Kong menahan beratus-ratus orang yang menyertai tunjuk perasaan hujung minggu termasuk seorang remaja lelaki berusia 12 tahun.

Ia adalah tunjuk perasaan pertama di bandaraya hab kewangan itu sejak pandemik COVID-19 bermula.

Tunjuk perasaan itu berlaku ketika pemimpin pro-Beijing, Carrie Lam, berikrar untuk merombak sistem pendidikan di bandar itu, dengan alasan kurikulum pengajian liberalnya mendorong tunjuk perasaan terbesar tahun lalu.

Semalam iaitu selepas dua hari sekatan terhadap perhimpunan dilonggarkan dengan bar dan gimnasium dibenarkan dibuka semula, polis rusuhan mengejar penunjuk perasaan yang memenuhi beberapa pusat membeli-belah.

Mereka kemudian menggunakan penyembur lada dan tongkat terhadap penunjuk perasaan, orang ramai berdekatan dan wartawan di daerah Mong Kok.

Polis berkata, 230 orang berusia di antara 12 dan 65 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk membabitkan diri dalam perhimpunan haram, menyerang polis dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Carrie Lam.
Carrie Lam.

Manakala yang lain didenda kerana melanggar peraturan anti-COVID-19 yang melarang lebih daripada lapan orang berkumpul di khalayak ramai.

Pihak berkuasa hospital pula berkata, 18 orang menerima rawatan kerana mengalami kecederaan.

Melalui wawancara dengan akhbar pro-kerajaan Ta Kung Pao yang disiarkan hari ini, Lam menggambarkan program sekolah menengah semasa sebagai "kandang ayam tanpa bumbung" dengan menyatakan bahawa kerajaan akan segera melancarkan rancangan mereka.

"Dari segi menangani subjek kajian liberal di masa depan, kami pasti akan menjelaskan semuanya kepada masyarakat dalam tahun ini," katanya.

Kenyataan beliau berkemungkinan akan menyemarakkan perasaan marah penduduk Hong Kong yang khuatir Beijing akan menyekat kebebasan mereka dan meningkatkan ketegangan politik sekali lagi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X