Isnin, 11 Mei 2020 | 7:15pm
Pekerja melakukan semburan nyah kuman di bandar Seoul berikutan penularan COVID-19 di Korea Selatan. - Foto Reuters
Pekerja melakukan semburan nyah kuman di bandar Seoul berikutan penularan COVID-19 di Korea Selatan. - Foto Reuters

COVID-19: Korea Selatan catat ledakan baharu kes

SEOUL: Korea Selatan mencatatkan jumlah kes COVID-19 baharu tertinggi dalam tempoh lebih daripada sebulan, berpunca daripada kluster hiburan malam di Seoul yang muncul ketika negara itu mula melonggarkan sekatan.

Korea Selatan adalah model global dalam usaha membendung wabak itu, namun hujung minggu lalu, ibu kotanya dan wilayah Gyeonggi yang berdekatan serta Incheon mengarahkan penutupan semua kelab dan bar selepas ledakan kes baharu mencetuskan kebimbangan gelombang kedua.

Kejadian itu berlaku ketika sebahagian Eropah memulakan pembukaan semula dengan penuh hati-hati, di mana pakar kesihatan mengingatkan bahawa langkah yang terlalu cepat akan menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan.

Pegawai Korea Selatan melaporkan 35 kes baharu hari ini, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 10,909, selepas mencatat hanya kenaikan satu angka selama lapan daripada 12 hari sebelumnya, iaitu daripada mereka yang tiba dari luar negara.

Bagaimanapun pada tengah hari ini, Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KCDC) berkata, sebanyak 86 kes baharu dicatatkan, dikaitkan dengan kluster hiburan malam.

Pada mulanya ia dipercayai berpunca daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif selepas mengunjungi lima kelab malam dan bar di kawasan Itaewon awal Mei lalu.

Bagaimanapun KCDC berkata, kluster itu berasal daripada asal usul berbeza, di mana pengarahnya, Jeong Eun-kyeong memberitahu pemberita bahawa ia membabitkan kelab malam berbeza dan pada tarikh berlainan.

Perdana Menteri, Chung Sye-kyun, berkata pegawai kesihatan bergelut untuk mencari "ribuan orang" yang pergi ke kelab dan bar di Itaewon dan mendesak supaya semua pengunjung pusat hiburan tampil untuk diuji.

Beliau berkata, sebilangan besar pengunjung tidak dapat dijejaki.

Lonjakan jangkitan baharu muncul ketika kehidupan seharian Korea Selatan kembali normal, dengan kerajaan melonggarkan peraturan penjarakan sosial minggu lalu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X