Khamis, 30 April 2020 | 4:56pm
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, memakai topeng mulut dan hidung ketika berucap di parlimen. Jepun dijangka melanjutkan perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, memakai topeng mulut dan hidung ketika berucap di parlimen. Jepun dijangka melanjutkan perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP

4 negara Asean terima bantuan perubatan Jepun

TOKYO: Jepun sedang membuat persediaan untuk menghantar Avigan iaitu sejenis ubat merawat influenza, ke 38 negara pada minggu ini bagi membantu usaha memerangi COVID-19.

Beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Myanmar, Filipina dan Indonesia pula akan menyertai program ujian ubat itu terhadap pesakit COVID-19.

Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, berkata Avigan, yang juga dikenali sebagai Favipiravir, akan dihantar pada minggu ini secara percuma untuk digunakan dalam ujian merawat pesakit dijangkiti COVID-19.

"Ubat ini didapati berkesan untuk merawat pesakit dijangkiti COVID-19, terutama individu menunjukkan gejala ringan," katanya.

Tambah Moteki, Jepun akan bekerjasama dengan negara yang menerima ubat berkenaan untuk diperluaskan bagi kajian klinikal dan mengetahui keberkesanannya dalam rawatan pesakit COVID-19.

Jepun juga menyalurkan AS$1 juta (RM4.3 juta) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membeli dan menghantar bekalan ubat-ubatan ke negara yang memerlukan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dijangka melanjutkan tempoh perintah berkurung di negara itu yang akan tamat minggu depan, selama sebulan lagi.

Jepun pada mulanya mengisytiharkan perintah berkurung di tujuh wilayah yang mengalami peningkatan mendadak jangkitan COVID 19 pada 7 April lalu dan kemudian diperluaskan ke seluruh negara.

Media tempatan melaporkan, Abe mungkin melanjutkan perintah berkurung sampai penghujung Mei ini atau sehingga 6 Jun ini berikutan tekanan yang dihadapi sektor kesihatan negara itu.

Akhbar tempatan, termasuk Nikkei melaporkan, kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan panel pakar esok bagi membincangkan ancaman pandemik COVID-19 di Jepun dan langkah susulan yang perlu diambil.

Jepun tidak terjejas terus akibat virus itu berbanding Eropah atau Amerika Syarikat (AS), dengan sekitar 14,000 kes jangkitan dan 415 kematian setakat ini. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X