Khamis, 30 April 2020 | 12:49pm

Penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong mahu protes

HONG KONG: Penunjuk perasaan pro-demokrasi ingin menghidupkan semula gerakan mereka selepas tempoh perintah berkurung berikutan kemarahan yang meluap-luap terhadap China.

Beberapa hari lalu mereka mengadakan perhimpunan 'flashmob' dan turut berhasrat untuk mengadakan protes yang lebih besar dijangkakan pada sambutan Hari Pekerja, esok.

Untuk rekod, demonstrasi dengan unsur keganasan yang berlaku tahun lalu melumpuhkan bandar yang dihuni 7 juta penduduk dalam tempoh berbulan-bulan, ia berpunca daripada kemarahan terhadap Beijing yang cuba menyekat kebebasan mereka.

Kemarahan penduduk bermula apabila Beijing melantik dua pegawai kanan untuk berurusan dengan Hong Kong.

Seorang pegawai perhubungan, Luo Huining yang mewakili kerajaan pusat China di Hong Kong, sementara Xia Baolong, mengambil alih hal ehwal Hong Kong dan Macau.

Menurut penganalisis, pelantikan itu adalah isyarat cukup jelas bahawa Beijing ingin menguasai semula bandar itu selepas berlakunya protes berkenaan.

Kedua-dua pegawai yang tidak mahir berbahasa Kantonis ini sejak dari awal pelantikan tidak menunjukkan kesungguhan untuk berdamai bagi menyelesaikan perbezaan ideologi dalam kalangan rakyat Hong Kong.

Bahkan, Luo mengarahkan undang-undang keselamatan nasional baharu diperkenalkan, selain terus menggesa diberikan lebih kuasa untuk mengawal pemerintahan di Hong Kong.

Kegagalan untuk Hong Kong melaksanakan undang-undang anti hasutan sejak sekian lama menjadi punca kekecewaan rakyatnya terhadap kepimpinan Beijing.

Ia tidak dapat dikuatkuasakan berikutan kebimbangan rakyat Hong Kong ia mungkin akan mengurangkan kebebasan bersuara mereka. –AFP

Berita Harian X