Sabtu, 4 April 2020 | 1:13pm

COVID-19: WHO sokong inisiatif wajib, galak pakai topeng

BEIJING: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong inisiatif Kerajaan China mewajib atau menggalakkan orang ramai memakai topeng muka, iaitu perubahan ketara terhadap nasihat diberikan sebelum ini dalam menangani pandemik COVID-19.

Menurut WHO, pemakaian topeng pembedahan seharusnya dikhususkan untuk petugas perubatan, manakala orang ramai disaran menggunakan topeng biasa diperbuat daripada kain atau dihasilkan sendiri.

Pendirian terbaru itu mengambil kira kajian pakar berhubung kesan positif pemakaian topeng dalam mengelakkan penyebaran COVID-19, dengan lebih banyak kerajaan di Eropah mewajibkan penduduk mereka untuk menutup hidung dan mulut ketika berada dalam khalayak ramai.

“Kita dapat melihat bagaimana pemakaian topeng, sama ada dihasilkan sendiri atau diperbuat daripada kain dalam kalangan komuniti boleh membantu mendapatkan keputusan komprehensif.

“Ada situasi membuktikan bahawa pemakaian topeng boleh mengurangkan kadar risiko jangkitan terhadap individu lain,” kata Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, pada sidang media.

Beliau menjelaskan, sokongan akan diberi kepada kerajaan yang mahu menggunakan pendekatan khusus berhubung pemakaian topeng muka, sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif dalam usaha memerangi wabak terbabit.

Beliau berkata, strategi komprehensif itu termasuk mencuci tangan, penjarakan sosial dan ujian pantas dalam mengenal pasti kes serta kuarantin pesakit.

WHO sebelum ini sering menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan topeng muka kerana ia boleh menyumbang kepada permintaan tinggi sedangkan bekalannya amat terhad. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X