Jumaat, 3 April 2020 | 3:04pm
Bekas calon Presiden Korea Selatan, Ahn Cheol-soo, pada sesi interview dengan AFP di pejabatnya, menceritakan pengalamannya ketika bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Daegu. - Foto AFP.
Bekas calon Presiden Korea Selatan, Ahn Cheol-soo, pada sesi interview dengan AFP di pejabatnya, menceritakan pengalamannya ketika bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Daegu. - Foto AFP.

COVID-19: Bekas calon presiden turun padang bantu rawat pesakit

SEOUL: Apabila hospital di bandar Daegu, Korea Selatan bergelut dengan lebanjiran pesakit coronavirus (COVID-19), kerajaan merayu doktor untuk membantu, dan antara yang tampil ke depan adalah bekas calon presiden, Ahn Cheol Soo.

Korea Selatan adalah antara negara luar China pertama berdepan ancaman COVID-19.

Namun, program 'jejak, uji dan rawat' yang dilakukan secara menyeluruh dan dibantu kit ujian pantas serta kempen penjarakan sosial membolehkan negara itu berjaya mengawal keadaan, dengan kurang daripada 10,000 kes pada Rabu, selain mencatat kadar kematian antara terendah.

Antara langkah kerajaan adalah menguji semua ahli Gereja Shincheonji Jesus, sebuah kumpulan ajaran sesat, yang dikaitkan dengan separuh daripada kes COVID-19 di negara itu.

Seperti dijangka, sejumlah besar kes positif muncul di Daegu, iaitu pusat penyebaran wabak di Korea Selatan.

Apabila hospital di bandar itu kekurangan tenaga kerja, kerajaan merayu bantuan persatuan doktor dan Ahn, 58 serta isterinya yang juga seorang profesor perubatan tampil ke depan.

Beliau membantu merawat sehingga 90 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) setiap hari, dan kelihatan letih namun tetap komited dalam pakaian khas yang dibasahi peluh.

"Seorang pesakit berusia 60 tahun memberitahu saya, suaminya baru meninggal dunia sehari sebelum itu akibat COVID-19 di hospital lain.

"Beliau tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kerana mayat perlu segera dibakar. Wanita itu juga tidak dapat hadir di upacara pembakaran mayat kerana sedang dirawat.

"Saya kehabisan kata-kata untuk membantu mententeramkan perasaannya," katanya.

Ahn menyatakan demikian dalam wawancara pertama bersama media antarabangsa selepas menjalani kuarantin selama 15 hari di Daegu.

Beliau memberikan kredit kepada ujian pantas di Seoul dan reaksi segera yang diambil kerajaan untuk mengurangkan impak virus dan berkata, ia adalah contoh kepada pihak lain. - AFP

Berita Harian X