Jumaat, 13 March 2020 | 2:28pm
Iran ialah antara negara paling terkesan dengan pandemik COVID-19. - Foto AFP
Iran ialah antara negara paling terkesan dengan pandemik COVID-19. - Foto AFP

Iran mohon pinjaman IMF perangi COVID-19

TEHRAN: Iran memohon pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), iaitu yang pertama dalam tempoh berdekad-dekad, bagi memerangi wabak COVID-19 yang telah meragut 429 nyawa dan menjangkiti lebih 10,000 orang di negara ini.

Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif, ketika mengumumkan perkara itu melalui Twitter, semalam, meminta IMF supaya melakukan perkara yang betul.

Dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Mohammad Javad turut menggesa sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran ditamatkan.

Beliau menegaskan, sekatan AS itu menjejaskan usaha memerangi COVID-19 di Iran.

Sekiranya Iran memperoleh pinjaman daripada IMF yang mana AS mempunyai pengaruh veto dalam penentuan keputusan, ia akan merupakan yang pertama sejak awal 1960-an.

Berita permohonan pinjaman terbabit menyusul selepas Iran melaporkan 75 lagi kematian akibat COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak negara ini mengumumkan korban pertama pada bulan lalu.

Iran ialah antara negara paling terkesan dengan pandemik COVID-19 di luar China di mana virus berkenaan tercetus.

Dalam rayuannya untuk pinjaman IMF, Mohammad Javad memetik satu kenyataan bersama IMF dan Bank Dunia bertarikh 2 Mac lalu bahawa mereka akan: ‘menggunakan instrumen yang kami ada hingga ke tahap sepenuh mungkin, termasuk pembiayaan kecemasan’, bagi membantu negara-negara memerangi virus itu.

“Bank pusat kami memohon akses kepada kemudahan ini dengan segera,” ciap diplomat utama Iran itu.

Mohammad Javad berkata, IMF dan lembaganya ‘harus mematuhi mandat dana, melakukan perkara yang betul dan bertindak secara bertanggungjawab’.

Iran tiada menerima bantuan daripada IMF sejak satu ‘standby credit’ dikeluarkan antara 1960 hingga 1962, menurut data agensi kewangan itu.

Menurut laman web IMF, Instrumen Kewangan Pantas (RFI) ‘tersedia untuk semua negara anggota berdepan keperluan imbangan pembayaran yang mendesak’.

Dalam satu paparan Instagram yang dipetik agensi berita IRNA, Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnasser Hemmati, memaklumkan bahawa permohonan akses kepada RFI sudah dikemukakan secara rasmi melalui surat pada 6 Mac lalu.

“Susulan penularan meluas coronavirus di negara kami dan keperluan untuk terus mengambil langkah kukuh bagi mengawal dan menyembuhkan (penyakit itu), serta menangani impaknya terhadap ekonomi, Iran memohon bantuan kira-kira AS$5 bilion,” tulis Abdolnasser.

Ketika ini, AS melaksanakan dasar ‘tekanan maksimum’ dengan sasaran untuk melumpuhkan kewangan Kerajaan Iran. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X