Selasa, 10 March 2020 | 11:29am

COVID-19: Kes baharu di Korea Selatan kurang 150

SEOUL: Korea Selatan, antara negara paling teruk terjejas akibat wabak COVID-19 di luar China, hari ini melaporkan kurang daripada 150 kes baharu buat kali pertama dalam masa dua minggu.

Sebanyak 131 jangkitan telah disahkan pada hari Isnin, kata Pusat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC).

Tiga orang lagi meninggal dunia, tambahnya, menjadikan jumlah kematian kepada 54 orang.

Peningkatan jangkitan menjadikan jumlah keseluruhannya 7,513. Setiap pagi, Korea Selatan mengumumkan berapa banyak kes yang didiagnosis pada hari sebelumnya, dan memberikan kemas kini setiap petang dengan angka terkini setakat ini.

Angka semalam menandakan kejatuhan harian keempat berturut-turut dan paling rendah untuk sehari sejak akhir Februari.

Korea Selatan adalah negara pertama yang melaporkan bilangan COVID-19 yang signifikan di luar China, di mana penyakit itu mula muncul.

Namun, pada hari-hari kebelakangan ini tumpuan perhatian global telah beralih arah ke Itali dan Iran.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, mengingatkan “trend perlahan" negaranya tetapi memberi amaran: "Kita tidak sepatutnya berpuas hati."

Pihak berkuasa menyatakan risiko jangkitan kluster kecil berterusan dan orang ramai diminta supaya mengelakkan diri dari acara kumpulan seperti protes atau upacara keagamaan.

Lebih 60 peratus daripada kes negara itu dikaitkan dengan Gereja Shincheonji, pusat agama yang dikecam sebagai pusat penyebaran wabak.

Salah seorang anggotanya menghadiri sekurang-kurangnya empat upacara keagaam sebelum didiagnosis.

Pelbagai acara dari konsert K-pop hingga ke kejohanan sukan telah dibatalkan atau ditangguhkan akibat penularan wabak itu, dengan cuti sekolah dan tadika dilanjutkan tiga minggu di seluruh negara. - AFP

Berita Harian X