Khamis, 5 March 2020 | 10:53am
Seorang wanita melintasi anggota tentera Korea Selatan berpakaian keselamatan melakukan semburan cecair nyah kuman bagi membendung penularan COVID-19 di Seoul. - Foto AFP
Seorang wanita melintasi anggota tentera Korea Selatan berpakaian keselamatan melakukan semburan cecair nyah kuman bagi membendung penularan COVID-19 di Seoul. - Foto AFP

Kes COVID-19 Korea Selatan cecah 6,000

SEOUL: Kes jangkitan COVID-19 di Korea Selatan, yang terbesar di luar China, mencecah 6,000 mangsa hari ini dengan pihak berkuasa melaporkan 145 kes baharu.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea Selatan melaporkan 5,766 mangsa disahkan positif COVID-19 dengan 35 kematian.

Setakat ini, 36 negara dan wilayah sudah melarang kemasukan individu yang pernah mengunjungi selatan negara itu, menurut Kementerian Luar.

Hampir 90 peratus kes berasal dari Daegu dengan lebih 4,300 kes disahkan di sana dan wilayah berjiran Gyeongsang Utara.

Wabak di bandar dengan 2.5 juta penduduk itu bermula dalam kalangan pengikut Gereja Shincheonji, di mana seorang wanita berusia 61 tahun menunjukkan simptom coronavirus pada 10 Februari lalu selepas menghadiri empat upacara gereja terbabit.

Kerajaan semalam mencadangkan belanjawan tambahan 11.7 trilion won (RM41.3 bilion) bagi menangani kesan wabak itu selain menambah baik sistem pencegahan penyakit berjangkit di Korea Selatan.

ia adalah sebahagian daripada pakej 30-trilion-won (lebih RM1 trilion) yang diumumkan Presiden Moon Jae-in Selasa lalu berikutan keadaan ‘tenat’ akibat penularan wabak terhadap kuasa ekonomi ke-12 terbesar di dunia itu. - AFP

Berita Harian X