Rabu, 4 March 2020 | 11:41am

Korea Selatan catat tambahan 142 kes COVID-19

SEOUL: Korea Selatan melaporkan penambahan 142 lagi kes COVID-19 hari ini dengan peningkatan lebih rendah berbanding hari sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan 5,328 kes, sekali gus merekodkan angka terbesar di luar China.

Seoul merekodkan 851 kes baharu, semalam, iaitu peningkatan kes harian paling tinggi sehingga kini, di mana Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengisytiharkan perang terhadap virus pembawa maut itu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berkata, empat lagi mangsa maut hari ini, menjadikan korban keseluruhan ialah seramai 32.

Korea Selatan dilihat mencatatkan peningkatan mendadak terhadap wabak itu sejak akhir-akhir ini sehingga pihak berkuasa terpaksa menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 260,000 orang yang mempunyai kaitan dengan Gereja Shincheonji.

Gereja itu yang sebelum ini sering dikutuk kerana mengamalkan pegangan kultus dikaitkan dengan lebih separuh daripada kes yang ada di republik itu.

Lebih daripada 4,000 kes sehingga kini disahkan di selatan bandar Daegu, di mana wabak dalam kalangan ahli Shincheonji tercetus bermula dengan wanita berusia 61 tahun yang mengalami simptom pada 10 Februari namun pesakit tetap menghadiri sekurang-kurangnya empat upacara keagamaan di bandar itu.

Naib Menteri Kesihatan, Kim Gang-lip berkata, kira-kira 2,300 pesakit di Daegu di mana sebahagiannya mengalami simptom teruk, sementara yang lain pula sama ada mempunyai gejala sederhana atau tiada langsung, kini menanti untuk menerima rawatan di semua kemudahan perubatan.

Pelbagai acara di negara itu membabitkan konsert K-pop dan sukan dibatalkan atau ditangguhkan akibat penularan wabak itu, selain cuti sekolah dilanjutkan sehingga tiga minggu lagi di seluruh negara.

Kim berkata, semua pusat jagaan kanak-kanak juga tidak beroperasi sehingga Ahad ini dengan kerajaan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk menutup kemudahan itu lebih lama.

AFP turut melaporkan Bank Pusat memberi amaran bahawa berlakunya penguncupan pada suku pertama bagi negara ke-12 ekonomi terbesar dunia itu dengan menyatakan bahawa wabak berkenaan akan menjejaskan sektor penggunaan dan eksport.

Sementara itu menurut Blue House, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in membatalkan perjalanan ke Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Turki yang dijadualkan pertengahan bulan ini susulan penularan coronavirus. - AFP

Berita Harian X