Rabu, 4 March 2020 | 9:05am
KETUA IAEA baharu, Rafael Grossi. - Foto Reuters
KETUA IAEA baharu, Rafael Grossi. - Foto Reuters

IAEA tuntut penjelasan program nuklear Iran

PARIS: Ketua pemantau atom Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam, menuntut penjelasan daripada Iran berhubung tapak tidak diisytiharkan di Tehran di mana zarah uranium ditemui, akhir tahun lalu.

Amaran itu disuarakan pada hari sama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengeluarkan dua laporan, satu mengenai program nuklear yang sedang dilaksanakan Iran dan penafian akses terhadap dua tapak di mana pihak agensi ingin melawat.

Ketua IAEA baharu, Rafael Grossi, yang berada di Paris untuk menemui Presiden Emmanuel Macron memberitahu AFP, bahawa Iran harus memutuskan untuk bekerjasama secara lebih jelas dengan agensi itu bagi memberikan penjelasan.

Hakikat bahawa kami menemui kesan (uranium) adalah amat penting. Ia bermaksud bahawa ada kemungkinan aktiviti nuklear dan bahan yang tidak berada di bawah pengawasan antarabangsa yang kita tidak tahu asal usulnya. Ia membimbangkan saya," kata Grossi.

IAEA selama beberapa bulan memberi tekanan kepada Tehran supaya negara itu memberikan maklumat mengenai aktiviti yang sedang dijalankan di tapak yang ditemui zarah uranium itu.

Ketika IAEA belum mengenal pasti tapak yang masih menjadi tanda tanya itu, pihak diplomatik memberitahu AFP bahawa agensi itu merujuk kepada tapak di daerah Turquzabad di Tehran di mana Israel mendakwa wujudnya aktiviti atom rahsia sebelum ini.

Menurut laporan IAEA semalam, agensi itu mengenal pasti beberapa persoalan berkaitan dengan kemungkinan bahan dan aktiviti berkaitan nuklear berlaku di tiga lokasi di Iran yang tidak diisytiharkan.

Antaranya, laporan itu menyatakan bahawa IAEA sejak awal Julai tahun lalu memerhatikan aktiviti yang konsisten bersama usaha untuk membersihkan bahagian lokasi itu.

Sumber diplomatik menyatakan tiga lokasi itu terletak berasingan di Turquzabad.

Sumber juga memberitahu bahawa persoalan agensi itu dikaitkan dengan aktiviti nuklear bersejarah di Iran dan tidak mematuhi perjanjian nuklear yang dilaksanakan dengan negara kuasa besar dunia pada 2015- AFP

Berita Harian X