Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:41pm
Korea Selatan mengesahkan 594 lagi kes COVID-19, hari ini. - Foto AFP
Korea Selatan mengesahkan 594 lagi kes COVID-19, hari ini. - Foto AFP

Korea Selatan catat peningkatan terbesar kes COVID-19

SEOUL: Korea Selatan mengesahkan 594 lagi kes COVID-19, hari ini, iaitu peningkatan terbesar setakat ini yang menjadikan jumlah jangkitan mencecah 2,931 dengan penambahan tiga kematian.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KCDC) dalam satu kenyataan berkata, lebih 90 peratus kes baharu itu dilaporkan di Daegu yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan di negara ini, serta wilayah jiran Gyeongsang Utara.

Menurut kenyataan itu lagi, tiga wanita di Daegu, termasuk seorang berumur 90-an, meninggal dunia akibat virus terbabit dan menjadikan angka korban di Korea Selatan berjumlah 16 mangsa, setakat ini.

Agensi berita Yonhap melaporkan, dua lagi mangsa terbabit disahkan positif coronavirus selepas kematian mereka.

Angka terbabit dijangka meningkat dengan saringan lebih 260,000 orang berkait Shincheonji Church of Jesus yang mencatat kira-kira separuh daripada jumlah kes di Korea Selatan.

Seorang anggota wanita berumur 61 tahun menghadiri sekurang-kurang empat upacara gereja di Daegu yang merupakan bandar keempat terbesar di Korea Selatan dengan populasi 2.5 juta penduduk, sebelum didiagnosis.

Lebih 86 peratus daripada kes coronavirus di negara ini dilaporkan di Daegu dan Gyeongsang Utara, menurut KCDC.

Naib Menteri Kesihatan, Kim Gang-lip, berkata 80 peratus daripada mereka yang disahkan positif virus itu, boleh dirawat dengan ubat-ubatan kerana mengalami ‘simptom ringan’, manakala bakinya memerlukan rawatan lanjut di hospital. - AFP

Berita Harian X