Selasa, 25 Februari 2020 | 11:16am
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di bandar tenggara Daegu. - Foto AFP
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di bandar tenggara Daegu. - Foto AFP

Korea Selatan akan diagnosis semua anggota gereja

SEOUL: Jumlah kes COVID-19 di Korea Selatan meningkat kepada 893 hari ini, tatkala pihak berkuasa kesihatan mengatakan mereka merancang untuk mendiagnosis lebih 200,000 anggota gereja yang menjadi pusat penyebaran wabak.

Daripada 60 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 16 adalah di bandar tenggara Daegu, di mana gereja itu terletak, dan 33 dari wilayah utara Gyeongsang yang berhampiran, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC).

Korea Selatan juga melaporkan kematian kesembilan akibat virus itu, seorang pesakit dari sebuah hospital di wilayah utara Gyeongsang.

Hari ini, pemimpin Gereja Shincheonji berkata, ia telah bersetuju untuk memberi pihak berkuasa nama semua anggotanya di Korea Selatan, dianggarkan oleh media sekitar 215,000 orang.

Kerajaan merancang untuk mengendalikan ujian coronavirus ke atas semua ahli "secepat mungkin" apabila ia mempunyai maklumat, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan.

"Kami sentiasa meminta senarai itu berdasarkan penilaian kami bahawa adalah penting untuk mendiagnosis semua anggota gereja untuk membendung penyebaran virus dan meredakan kebimbangan awam," kata kenyataan itu.

Gereja yang mendapat kritikan awam mengenai pengendalian wabak itu, meminta kerajaan memastikan butiran peribadi dalam senarai tidak dimaklumkan kepada umum.

“Kami telah bekerjasama dengan kerajaan untuk mencegah penyebaran virus dan mengatasi wabak itu," kata pengasas gereja dan messiah Lee Man-hee mewakili kenyataan peribadinya dalam satu surat yang diposkan dalam talian.

Selain ahlinya, gereja juga akan mendiagnosis orang-orang dalam program latihan untuk menjadi ahli penuh, katanya.

"Semua ini akan dilaksanakan di premis dengan syarat kerajaan mengambil langkah untuk melindungi maklumat peribadi mereka," kata Lee.

Kira-kira 60 peratus kes COVID-19 di Korea Selatan dikaitkan dengan wabak di gereja, di mana kes pertama dilaporkan membabitkan seorang wanita berusia 61 tahun yang dijangkiti virus itu dari sumber yang tidak diketahui.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), menaikkan tahap amarannya untuk Korea Selatan dan menasihatkan orang Amerika mengelakkan semua perjalanan yang tidak penting ke negara itu, atas alasan "wabak yang meluas dan berterusan" coronavirus itu.

Angkatan tentera AS dan Korea Selatan berkata, mereka sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan latihan bersama yang dijadualkan, satu daripada petanda konkrit awal mengenai serangan virus terhadap aktiviti ketenteraan global AS. - REUTERS

Berita Harian X