Jumaat, 21 Februari 2020 | 11:21am

Korea Selatan catat 52 kes baharu COVID-19

SEOUL : Korea Selatan mengesahkan penemuan 52 kes baharu coronavirus (COVID-19) hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 156, sekali gus membuatkan negara itu sebagai antara yang terburuk dijangkiti di luar China.

Daripada jumlah itu, 39 kes berkait rapat dengan Gereja Shincheonji di Daegu, kata Pusat Kawalan dan Jangkitan Penyakit Korea (KCDC).

Lebih daripada 80 anggota gereja berkenaan sudah dijangkiti wabak terbabit, bermula dengan seorang wanita berusia 61 tahun yang sudah mula mengalami demam sejak 10 Februari, namun tetap menghadiri empat lagi upacara sebelum akhirnya disahkan positif.

Datuk Bandar Daegu, iaitu bandar keempat terbesar di Korea Selatan dengan populasi 2.5 juta, menasihatkan masyarakat setempat untuk tidak keluar ke tempat terbuka.

Tinjauan juga mendapati semua penduduk menggunakan topeng muka bagi menjalankan aktiviti harian hari ini.

Shincheoni sering didakwa mengamalkan ajaran sesat, malah mendakwa ketua mereka, Lee Man Hee sebenarnya adalah Nabi Isa A.S dan akan membawa 140,000 pengikut ke syurga bersamanya pada hari kiamat.

Menurut KCDC, satu kes dilaporkan di hospital daerah Cheongdo berhampiran Daegu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 16, termasuk seorang pesakit yang meninggal dunia Rabu lalu selepas menunjukkan simptom pneumonia. - AFP

Berita Harian X